RUU khas kawal pendedahan kanak-kanak dalam media - Nancy

RUU khas kawal pendedahan kanak-kanak dalam media – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rang undang-undang (RUU) khusus bagi mengawal pendedahan berlebihan kanak-kanak dalam media perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan golongan itu terus terpelihara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini tiada peruntukan undang-undang yang secara langsung mengawal pendedahan kanak-kanak di platform seperti televisyen dan media sosial. 

Katanya, ia menjadikan Malaysia antara negara yang masih belum memperkenalkan mekanisme perlindungan lebih menyeluruh golongan itu dalam dunia digital.

“Negara-negara lain telah lama mempunyai undang-undang ketat dalam menangani isu ini dan Malaysia juga tidak boleh ketinggalan. 

“Perlindungan kepada kanak-kanak dalam dunia digital adalah satu keperluan mendesak pada masa kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuching di Dewan Hikmah, Petra Jaya, hari ini. 

Nancy berkata, penggubalan RUU itu kelak akan diselaraskan oleh Bahagian Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dengan kerjasama Kementerian Digital serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“KPWKM tidak menggubal undang-undang secara langsung, tetapi kami akan bekerjasama rapat dan memberi input berkaitan daripada sudut pembangunan kanak-kanak,” katanya. 

Nancy turut memetik dapatan Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini yang menunjukkan sebanyak 40 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak tahu cara melindungi diri ketika melayari internet. 

Katanya, sebanyak 83 peratus pula berdepan risiko keselamatan dalam talian disebabkan perlindungan yang lemah.

Justeru kata beliau, satu perbincangan bersama UNICEF dan negara-negara lain akan diadakan menerusi penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva pada Januari tahun hadapan bagi mendapatkan maklum balas dan input berhubung isu keselamatan digital.

“Kesedaran dan perlindungan terhadap keselamatan digital kanak-kanak perlu ditingkatkan melalui pendekatan bersepadu,” katanya.

Tambah beliau, Majlis Sosial Negara kini sedang menyelaras pelbagai bentuk intervensi melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, MCMC dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menangani isu tersebut secara menyeluruh.

Katanya, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk kempen kesedaran melalui media sosial dan televisyen yang menasihati ibu bapa agar tidak mendedahkan anak-anak secara berlebihan di media.

“Kita tidak galakkan ibu bapa terlalu ghairah menayangkan anak-anak mereka di media sosial hanya kerana mereka kelihatan comel. Ia boleh mendatangkan ancaman keselamatan jika tidak dikawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN