Russia pertimbang tandatangan SEANWFZ bersama ASEAN

Russia pertimbang tandatangan SEANWFZ bersama ASEAN

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Russia kini sedang mempertimbangkan untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) bersama ASEAN sekali gus memperlihatkan komitmen negara itu dalam menyokong ketenteraman dan keselamatan serantau.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dokumen berkaitan perjanjian itu masih perlu dirundingkan di peringkat pegawai sebelum dimuktamadkan.

Katanya, perkembangan tersebut menunjukkan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara Malaysia dan Russia dalam pelbagai aspek termasuk keselamatan dan pendidikan.

“Russia kini dalam pertimbangan untuk turut serta menandatangani Perjanjian SEANWFZ bersama ASEAN. Namun, dokumen berkaitan akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat pegawai,” katanya kepada pemberita selepas

Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri ASEAN dengan Russia sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia turut mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan.

Katanya, Malaysia menyatakan hasrat untuk mendapatkan lebih banyak tempat bagi menghantar pelajar ke Russia dan permintaan itu mendapat maklum balas positif.

“Kami menyuarakan keinginan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat khususnya dalam bidang teknikal dan lain-lain.

“Beliau (Sergei Lavrov) bersetuju untuk memberi lebih banyak tempat kepada pelajar kita,” katanya.

Menurut Mohamad, kerjasama dalam bidang pendidikan itu selari dengan dasar kerajaan untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Perkara yang paling penting ialah merealisasikan dasar kerajaan berkaitan TVET. Jadi, ini merupakan satu bentuk kerjasama yang baik antara Malaysia dan Russia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN