Yang Dipertua Pas Sungai Buloh fail saman cabar keabsahan Seksyen 145 Kanun Keseksaan

Yang Dipertua Pas Sungai Buloh fail saman cabar keabsahan Seksyen 145 Kanun Keseksaan

ZAHARUDIN Muhammad (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi pertuduhan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di Kampung Sungai Baru, bau-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Ustaz Zaharudin Muhammad telah memfailkan saman pemula bagi mencabar keabsahan Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

Beliau yang juga menantu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang telah memfailkan saman itu pada 31 Disember lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal.

Menurut saman pemula itu, tindakan undang-undang itu difailkan selepas dimaklumkan beliau akan didakwa atas pertuduhan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di Kampung Sungai Baru, hari ini. 

Zaharudin, 50, antara lain memohon suatu deklarasi bahawa Seksyen 145 Kanun Keseksaan adalah tidak sah dan terbatal.

Seksyen 145 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan memasuki atau terus berada dalam suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan pengetahuan bahawa perhimpunan tersebut telah diarahkan untuk bersurai.

Menurut saman itu, plaintif mendakwa seksyen berkenaan tidak sah kerana didakwa bercanggah dengan Perkara 5(1), 8(1) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta tidak selaras dengan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Zaharudin mendakwa, Seksyen 145 Kanun Keseksaan adalah tidak berperlembagaan kerana didakwa melanggar hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk kebebasan diri, kesamarataan di sisi undang-undang serta kebebasan bersuara.

Menurutnya, beliau memfailkan saman itu bagi melindungi dirinya daripada sebarang kesan buruk yang mungkin timbul akibat tindakan atau keputusan defendan dan/atau ejen-ejennya yang berasaskan peruntukan undang-undang berkenaan.

Selain itu, Zaharudin turut memohon mahkamah memberikan relif-relif lain yang difikirkan adil dan wajar. 

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes saman pemula itu pada 19 Januari ini. 

Menurut peguam bela, Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin, Seksyen 145 Kanun Keseksaan merupakan satu undang-undang lapuk yang sudah ketinggalan zaman. 

“Kami terkejut apabila kerajaan menggunakan seksyen yang jarang digunakan ini terhadap aktivis-aktivis yang menyuarakan isu di Kampung Sungai Baru sedangkan jaminan telah diberikan. 

“Rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. 

“Jadi, mengapa seksyen 145 digunakan untuk mendakwa Zaharudin sedangkan Akta Perhimpunan Aman membenarkan rakyat berhimpun tanpa permit,” kata peguam itu kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. 

Sementara itu, Zaharudin menafikan penglibatannya dalam himpunan di Kampung Sungai Baru dan menegaskan kehadirannya adalah untuk membantu penduduk mengosongkan kediaman masing-masing. 

“Inilah sebab utama saya ke sana. Saya bersama penduduk sehingga Maghrib dalam keadaan hujan lebat.

“Barang-barang penduduk dikeluarkan, termasuklah barang elektronik dan Al-Quran telah dibiarkan tengah hujan sehingga rosak,” katanya. 

Zahirudin menjelaskan, terdapat satu mesej WhatsApp yang telah disebarkan sebelum itu yang mengajak orang ramai hadir ke Kampung Sungai Baru pada 11 September dengan tawaran bayaran sebanyak RM30. 

“Mesej inilah yang jelas telah mengundang kehadiran orang ramai, terutamanya orang luar yang kami sendiri tidak kenal.

“Saya dengan tegas menafikan sebarang tindakan ganas. Ini bukan kehendak penduduk dan saya sendiri mengecam perbuatan tersebut,” katanya. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Zaharudin didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang ketika operasi pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu. 

Bagaimanapun, Zaharudin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapya dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN