Rokok seludup RM 250,000 disorok dalam rumah kosong - Utusan Malaysia

Rokok seludup RM 250,000 disorok dalam rumah kosong

ROKOK seludup yang berjaya dirampas polis marin dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taiping, Perak, malam Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya menghalang cubaan menyimpan rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM250,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taiping, Perak, malam Khamis lalu.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari, serbuan yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) Markas Operasi Kampung Acheh itu dilakukan hasil risikan selama 17 jam di lokasi berkenaan.

Katanya, dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan anggota URM diketuai Asisten Superintenden Mohamad Azam Mohamad Sahal telah membuat serbuan di sebuah rumah di No. 31, Jalan Venus, Taman Perak, Taiping.

“Pasukan serbuan sebelum itu menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti penyimpanan rokok tanpa cukai.

“Bagaimanapun, selepas hampir 17 jam melakukan intipan, tiada sebarang pergerakan mencurigakan dikesan di kawasan rumah tersebut.

“Pemeriksaan seterusnya terpaksa dilakukan dengan memecahkan tombol pintu rumah,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis rokok tanpa cukai yang disimpan di sebuah bilik di bahagian belakang rumah berkenaan.

Antara rokok yang dirampas ialah D&J Premium, John, L.A Lights, Canyon Signature dan International Gajah Baru dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM250,184.

Daripada jumlah itu, nilai harga rokok dianggarkan RM127,120 manakala nilai cukai dianggarkan sebanyak RM123,064.

“Semua barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Pokok Assam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya penghuni rumah berkenaan berjaya menghidu kehadiran pasukan serbuan selepas kenderaan suspek bertembung dengan kenderaan polis berhampiran lokasi.

“Suspek dipercayai melarikan diri dan usaha mengesan individu terlibat masih diteruskan. PPM Wilayah 1 juga akan mengenal pasti sumber bekalan rokok seludup tersebut bagi tindakan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak polis bagi membanteras jenayah ini secara bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN