KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluas pelaksanaan kadar gaji minimum kepada graduan dan pekerja separa mahir, termasuk lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan mereka menerima gaji yang setimpal dengan tahap kelulusan dan kemahiran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan melibatkan pekerja di bawah Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia (MASCO) Kod 8 dan ke atas.
“Langkah ini bertujuan menyediakan ganjaran yang lebih setara dengan kebolehan serta kemahiran yang dimiliki pekerja selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan bermaruah,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, usaha penyelarasan gaji secara menyeluruh turut akan dipercepatkan dalam tempoh RMK13 sebagai ikhtiar meneruskan penambahbaikan pasaran buruh negara.
“Penyelarasan ini penting bagi memastikan pekerja di semua sektor menikmati perkongsian hasil ekonomi negara secara lebih adil dan saksama,” katanya. – UTUSAN










