RHB lancar pembiayaan hartanah luar negara

RHB lancar pembiayaan hartanah luar negara untuk rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Perbankan RHB (RHB) melancarkan Pembiayaan Hartanah Luar Negara RHB kepada pelabur hartanah Malaysia yang merancang untuk membeli hartanah kediaman di luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom (UK).

Ia merupakan pembiayaan perumahan fleksibel penuh yang didenominasikan dalam ringgit Malaysia, di bawah penawaran RHB Premier. 

Penawaran ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang bukan penduduk tetap mahupun warganegara UK dan Australia, yang berhasrat membeli hartanah kediaman utama yang terletak dalam lingkungan 30 kilometer (km) dari Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Melbourne atau Sydney, Australia serta di Zon 1 hingga 3 London, UK.

Pengarah Urusan, Perbankan Komuniti Kumpulan RHB, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, RHB komited menjadi rakan kepercayaan kepada pelanggan RHB Premier yang ingin mempelbagaikan portfolio hartanah mereka ke peringkat antarabangsa. 

“Pembiayaan hartanah luar negara ini melengkapi aspirasi pelanggan untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu, mempelbagaikan kekayaan dan memiliki kediaman di lokasi strategik. 

“Kami bersedia menawarkan kepakaran yang tepat bagi merealisasikan impian pelaburan hartanah mereka dengan penuh keyakinan,” katanya dalam kenyataan. 

Menurutnya, penawaran RHB Premier mencerminkan komitmen bank untuk menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh, membantu pelanggan merebut peluang global untuk pulangan jangka panjang sambil mengekalkan kecairan dan mengoptimumkan penggunaan kredit. 

“Inisiatif ini turut menyokong pelbagai matlamat kewangan seperti perancangan pendidikan anak-anak, pemeliharaan kekayaan atau perancangan legasi. 

“Ia sejajar dengan strategi PROGRESS27 RHB yang menekankan pertumbuhan mampan melalui perkhidmatan terbaik, keuntungan tinggi serta kebertanggungjawaban dan tujuan yang jelas,” ujarnya. 

Sebagai sebahagian daripada perancangan masa depan, lokasi hartanah yang diliputi bakal diperluaskan mengikut unjuran pasaran hartanah dan kehendak pelanggan, termasuk bandar-bandar utama lain di Australia dan kawasan luar zon London.

Katanya, pelanggan juga boleh memilih untuk melepaskan pembiayaan lebih awal semasa tempoh pembinaan bagi mengurus risiko pertukaran mata wang asing, selaras dengan peraturan Bank Negara Malaysia berkaitan pelaburan dalam aset mata wang asing. 

“Pembiayaan dalam ringgit itu kemudian akan ditukar kepada mata wang asing dan didepositkan ke dalam Akaun Pelbagai Mata Wang (MCA) RHB yang menawarkan faedah. 

“Dana ini akan diperuntukkan sebagai cagaran sementara sebelum dihantar kepada peguam luar negara sebagai sebahagian daripada proses pembayaran pembiayaan selepas hartanah siap.

“Selain itu, pelanggan turut menikmati struktur pembiayaan yang fleksibel melalui ciri fleksibel penuh yang membolehkan bayaran tambahan dimasukkan pada bila-bila masa. 

“Selepas pembayaran pembiayaan, lebihan dana itu boleh dikeluarkan semula tanpa sebarang kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN