Representasi tiga tertuduh kes culik Palestin diterima

Representasi tiga tertuduh kes culik Palestin diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa representasi tiga daripada 14 tertuduh yang didakwa menculik seorang lelaki warga Palestin pada tiga tahun lalu telah diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).

Oleh itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badius Zaman Ahmad berkata, pihaknya menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan membabitkan kurung secara salah.

Tiga tertuduh itu, Edy Ko’im Said, Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi dan Mohd. Azwan Jamaludin masing-masing berumur antara 26 dan 42 tahun sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan Khamis ini bagi pertuduhan pilihan dibacakan semula terhadap Edy Ko’im, Muhammad Al Hatim dan Mohd. Azwan selain bagi mengetahui perkembangan terkini representasi beberapa tertuduh lain.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa seramai 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini.

Selain tiga tertuduh tersebut, turut didakwa menculik ialah Mohamad Norakmal Hassan, Dody Junaidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd. Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Nidarahayu Zainal, Raibafie Amdan, Mohd. Zaidi Mohd. Zain serta Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid,

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan ganjaran berupa rahsia maklumat berkaitan pembuatan dan penyahaktifan perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10.40 malam pada 28 September 2022.

Tiga lagi tertuduh iaitu Tengku Arif Bongsu serta pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie, turut berdepan 19 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah melebihi RM250,000.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin berjaya diselamatkan sehari selepas diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) pada 28 September tahun sama.

Mangsa dipercayai seorang ahli perniagaan dan berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada keesokannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN