PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang selepas memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu telah menaiki bas ke Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja berkenaan telah keluar dari kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini.
Kata beliau, tujuan remaja berkenaan berada di negara ini masih belum dipastikan.
“Semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) tiada pergerakan keluar dari Malaysia membabitkan remaja itu.
“Ibu remaja berkenaan juga masih belum dapat dihubungi. dan maklumat dari konsulat bahawa ibunya akan di tiba di Malaysia dam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, maklumat dari konsulat dari negara asal remaja itu memaklumkan dia mempunyai telefon bimbit tetapi nombor tidak dapat dihubungi.
Sebelum ini, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, remaja berkenaan dipercayai masih berada di dalam negara.
Katanya, satu laporan polis berkaitan kehilangan mangsa diterima di Balai Polis Main Terminal Building (MTB), KLIA.
Remaja berkenaan didapati telah memasuki Malaysia melalui KLIA.
Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti segala maklumat yang boleh membantu usaha pengesanan dan penyelesaian kes ini.
Kes ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan gambar remaja terbabit turut dilampirkan untuk tujuan hebahan dan bantuan orang awam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerusi talian 017-736 9187.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati remaja tersebut, David Balisong, 17, masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.29 pagi, hari terbabit. – UTUSAN










