KUALA TERENGGANU: “Saya akui tersilap langkah dan sudah insaf. Semasa melakukan kerja khidmat masyarakat, baru saya sedar kesilapan besar saya dan tidak mahu mengulanginya.”
Itu luahan Ahmad ,18, (bukan nama sebenar) seorang remaja yang menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) akibat kesalahan jenayah yang dilakukan ketika masih di bawah umur.
Dia yang berasal dari Marang dekat sini menjalani hukuman 120 jam selepas didapati bersalah merogol remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikenalinya dalam tempoh tiga bulan.
“Saya sangat menyesal. Saya mahu menjalani kehidupan baharu dan bekerja,” katanya ketika ditemui pada Program Sokongan Pekerjaan dan Program Kerjaya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ahmad berkata, perbuatannya terbongkar apabila ibu mangsa menemukan mereka berada dalam rumah kira-kira pukul 10 malam, sebelum didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Sepanjang hukuman dijalankan di bawah seliaan Bengkel Kebajikan Pemulihan Marang, saya dikehendaki melakukan kerja seperti memotong rumput, mengemas pejabat, membersihkan kebun dan membersihkan kawasan perkuburan selama enam jam sehari,” katanya.
Seorang lagi remaja, Hakimi, 17, (bukan nama sebenar) yang dikenakan hukuman 60 jam selepas terbabit dalam kes buli beramai-ramai di sebuah sekolah sukan tahun lalu berkata, dia terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi pemain bola sepak.
“Saya dan beberapa pelajar lain memukul seorang rakan asrama kerana salah faham. Sekarang saya terpaksa lupakan hasrat untuk menjadi pemain bola,” katanya.
Hakimi pernah bermain di peringkat kebangsaan dalam Liga Kementerian Pendidikan (KPM), namun mengakui kesilapannya memusnahkan impian untuk bergelar pemain profesional.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Rodziah Abdol Razak berkata, sebanyak 37 kes PKM direkodkan pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 26 kes terdiri daripada pesalah kanak-kanak, 10 kes pesalah muda manakala satu kes pesalah dewasa. Program bersama Perkeso ini pertama kali diadakan bagi memberi pendedahan mengenai peluang kerjaya kepada pesalah terlibat supaya mereka dapat memulakan hidup baru, sebaik selesai menjalani tempoh hukuman,” katanya. – UTUSAN










