PETALING JAYA: Polis percaya remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang selepas memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu dipercayai masih berada di dalam negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki remaja terbabit.
“Setakat ini seramai lima individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes masih dalam tindakan dan siasatan pihak polis namun dia (David) dipercayai masih berada di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, polis masih belum mengambil keterangan ibu bapa dan keluarga remaja terbabit.
Jumaat lalu, media melaporkan remaja terbabit dipercayai menaiki bas menuju ke KL Sentral, di sini selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun.
Memetik kenyataan Hussein Omar sebelum ini, setakat ini polis tidak dapat memastikan tujuan sebenar remaja terbabit datang ke Malaysia dan pihak konsulat memaklumkan nombor telefon bimbit remaja berkenaan tidak dapat dihubungi sehingga kini.
Jabatan Imigresen pada Khamis lalu mengesahkan kemasukan David berdasarkan rekod keluar masuk pelawat pada 7 Jun lalu melalui KLIA.
Remaja dari Cheadle, Greater Manchester itu dikatakan memberitahu adiknya dia akan keluar awal untuk ke sekolah disebabkan sedang menduduki peperiksaan GCE Peringkat A, 6 Jun lalu.- UTUSAN










