PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Hattan, mengelak daripada mengambil makanan laut selepas rebah di atas pentas akibat keracunan makanan.
Jelas Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, 61, ketika persembahan kepalanya tiba-tiba pening namun tetap mahu menyelesaikan nyanyian walaupun dalam keadaan duduk.
“Waktu nyanyi Rendang Tidak Berbuah, penonton semua sudah seronok layan saya nyanyi. Kemudian kepala saya mula rasa macam berpusing.
“Saya sempat minta penganjur bernyanyi dalam keadaan duduk untuk lagu kedua. Tapi bila muzik sudah masuk, saya tidak ingat apa jadi. Sedar-sedar sudah dalam ambulans.
“Cuma waktu pengsan semalam saya rasa macam nak mati. Tak tahulah, katanya gas itu berbahaya boleh sampai ke jantung,” katanya.
Hattan ditemui Utusan Malaysia semasa Majlis Ulang Tahun ke-5 Media Mulia, pada Isnin.
Dalam pada itu, jelas Hattan, buat masa ini dia berjaga-jaga soal pemakanan dan mengakui sedikit fobia menikmati makanan laut.
“Buat masa ini saya elak makanan laut. Lauk yang ada udang tadi pun saya tidak makan sebab fobia. Selepas ini jika ada majlis besar saya kena berjaga-jaga untuk makan.
“Saya bukanlah memilih makan. Cuma lepas ini makan kerang kena rebus dulu. Saya makan mentah sahaja,” tambahnya.
Walaupun dinasihati doktor untuk berehat, Hattan tetap hadir memeriahkan Majlis Ulang Tahun ke-5 Media Mulia kerana mengenang jasa akhbar itu menaikkan kerjaya seninya selama ini.
“Doktor kalau tahu saya bernyanyi hari ini mungkin dia mengamuk. Ikutkan hati tak larat tapi mengenang akhbar ini dekat dengan saya, saya hadir memeriahkan.
“Minggu depan saya fikir untuk berehat. Kami sekeluarga sudah rancang untuk pergi Port Dickson.
“Bila ingat kembali, saya tak pernah tumbang atas pentas. Mujur saya duduk. Kalau berdiri, mungkin kepala saya pecah,” tambahnya.
Terdahulu pada Sabtu, Datuk Hattan dilaporkan rebah ketika membuat persembahan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. -UTUSAN