KUALA LUMPUR: Pembangkang telah hantar satu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).
Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) atas dakwaan Perdana Menteri telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh.
“Semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada 22 Julai lalu, Perdana Menteri menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu dengan menyatakan bahawa laporan RCI Batu Puteh telah siap, diterima kerajaan dan akan dilaksanakan.
“Namun, kami ingin tegaskan bahawa RCI tersebut sebenarnya telah ditarik balik. Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menggulung perbahasan, tidak lagi disebut sebarang komitmen terhadap pelaksanaannya.
“Ini menunjukkan jawapan Perdana Menteri bercanggah dengan fakta sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang dikatakan memberi isyarat campur tangan dalam proses perundangan apabila menyentuh soal usia bekas Perdana Menteri yang terlibat dalam laporan RCI berkenaan.
“Perdana Menteri menyatakan beliau tidak mahu tindakan diambil kerana bimbang akan dianggap tidak adil terhadap bekas Perdana Menteri yang sudah lanjut usia.
“Persoalannya, siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa mendakwa, adakah Perdana Menteri atau Peguam Negara? Kenyataan itu menimbulkan persoalan serius berhubung campur tangan eksekutif dalam proses undang-undang negara,” katanya.
Tambah Takiyuddin, PN akan terus membangkitkan isu itu di Parlimen demi mempertahankan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kebebasan institusi-institusi utama negara daripada sebarang pengaruh politik.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kabinet sebulat suara membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Anwar berkata, meskipun kerajaan berpandangan keputusan Dr. Mahathir pada 2018 yang tidak meneruskan semakan kehakiman terhadap tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh adalah satu kesilapan, namun tindakan undang-undang tidak diambil bagi menghormati keadaan beliau.
“Kita ambil keputusan ini kerana ia melibatkan seorang bekas Perdana Menteri yang usianya sudah menjangkau 100 tahun. Adakah beliau tidak melakukan kesalahan? beliau memang bersalah. Tetapi adakah kita perlu ambil tindakan? saya dan Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak ambil tindakan.
“Kalau tindakan diambil, nanti Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) akan menuduh kita tidak berlaku adil. Tetapi saya tidak anggap keputusan ini berunsur politik, sebaliknya kerana faktor usia beliau,” katanya. – UTUSAN










