KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme yang sesuai agar pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 tidak membebankan rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang keputusan berkaitan subsidi perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.
“Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan yang negatif kepada majoriti rakyat.
“Itulah antara sebab kenapa setelah pelaksanaan beberapa dasar sebelum ni sama ada penyasaran semula subsidi diesel dan beberapa ikhtiar yang lain, kita lihat perlu ada sedikit penelitian,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Parlimen di sini, semalam.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi penyelarasan subsidi petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.
Pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam permukiman bersama ahli-ahli Parlimen kelmarin dan kerajaan komited memastikan setiap langkah diambil dengan mengambil kira kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. – UTUSAN










