Rafizi utus surat mohon sokongan MP penubuhan RCI kehakiman

Rafizi utus surat mohon sokongan MP penubuhan RCI kehakiman

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengutus surat rasmi kepada semua Ahli Parlimen agar menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan elibatkan integriti dalam proses pelantikan kehakiman di negara ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut menggesa semua ahli Parlimen untuk menyokong Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi hak asasi manusia, pilihan raya dan pembaharuan institusi untuk menyiasat.

Beliau juga semua ahli Parlimen supaya menyokong agar pelantikan bagi mengisi kekosongan penting dalam badan kehakiman dibuat berdasarkan syor terdahulu daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Justeru saya sekali lagi menyeru agar Yang Berhormat untuk turut bersama kami dalam menyatakan solidariti dan sokongan terhadap usaha ini sama ada melalui persetujuan penyataan sokongan yang dilampirkan bersama-sama surat ini atau kenyataan awam atau kehadiran dalam forum-forum berkaitan atau tindakan susulan di Parlimen,” katanya dalam surat tersebut.

Minggu ini, Rafizi bersama Ahli Parlimen PKR lain mendesak kerajaan menubuhkan RCI itu bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Turut dibangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat JAC yang dipersoalkan.

Desakan sembilan Ahli Parlimen PKR untuk menubuhkan RCI berhubung pelantikan kehakiman selari dengan kebimbangan yang dibangkitkan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan penubuhan RCI berhubung isu badan kehakiman, sekiranya Rafizi turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.

Menurut Tuan Ibrahim, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa beliau benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN