Rafizi gesa tubuh RCI, selesai kemelut pelantikan hakim

Rafizi gesa tubuh RCI, selesai kemelut pelantikan hakim

MOHD. Rafizi Ramli (tengah) bersama enam lagi ahli Parlimen PKR di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan yang berlegar berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) juga dipohon melaksanakan prosiding dan siasatan termasuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan.

Katanya, ia bagi memastikan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman dipertahankan.

Beliau berkata, Parlimen sebagai cabang perundangan yang bebas perlu memainkan peranan utama dalam melindungi kebebasan institusi kehakiman.

“Kami akan menulis secara rasmi kepada Pengerusi JKPK Parlimen, William Leong dan setiap anggota JKPK,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pusat Khidmat Parlimen Subang di sini, hari ini.

Sidang akhbar turut disertai Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi pemimpin PKR yang tidak hadir, namun menyokong pendirian itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Selepas enam tahun mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi menamatkan perkhidmatannya, Rabu lalu.

Susulan itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan kuasa dan melaksanakan tugas Ketua Hakim Negara berkuat kuasa minggu lalu. Selain tugas itu, dalam masa sama beliau juga diberi tanggungjawab menjalankan tugas Presiden Mahkamah Rayuan.

Ditanya sama ada wujud campur tangan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim, Mohd. Rafizi enggan mengulas lanjut.

“Saya sendiri ingin tahu, seperti anda semua apa sebenarnya yang berlaku. Namun, saya tidak berada dalam kedudukan untuk mendapatkan maklumat tersebut.

“Saya bukan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perkara ini tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet. Jadi, kalau ditanya kepada ahli Kabinet, mereka juga tidak tahu.

“Sebab itu, saya katakan jalan terbaik untuk mengetahui sama ada wujud campur tangan atau tidak, adalah melalui satu proses yang telus dan terbuka agar dapat menjernihkan keadaan,” katanya.

Mohd. Rafizi berkata, mereka akan menggerakkan kempen dalam kalangan ahli Parlimen merentas parti bagi menuntut penubuhan RCI tersebut.

“Kami juga akan menggerakkan forum awam di seluruh negara bagi memberi kesedaran dan mendapatkan sokongan rakyat berhubung perkara tersebut.

“Satu petisyen dalam talian akan digerakkan untuk menzahirkan hasrat rakyat supaya kebebasan institusi kehakiman dipertahankan. Isu ini mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×