UNITED KINGDOM: Penyanyi lagenda, Ozzy Osbourne meninggal dunia pada usia 76 tahun beberapa minggu selepas membuat kemunculan semula di pentas konsert tribute Black Sabbath di Birmingham England.
Pemergian perintis muzik heavy metal yang mencipta populariti bersama band Black Sabbath sejak 1968 diumumkan keluarga melalui hantaran Instagram (IG), hari ini.
“Dengan kesedihan yang tidak mampu digambar dengan kata-kata, kami (keluarga) terpaksa menyampaikan berita bahawa Ozzy Osbourne kesayangan kita sudah meninggal dunia pagi ini.
“Ketika menghembuskan nafas terakhir, beliau bersama keluarga dan dikelilingi dengan penuh rasa kasih sayang,” demikian hantaran terbaharu Instagram Osbourne.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai punca mendiang Osbourne meninggal dunia.
Difahamkan, penyanyi yang terkenal dengan gelaran ‘Putera Kegelapan’ itu sebelum ini mengalami pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mendiang meninggalkan isteri, Sharon dan tiga anak mereka, iaitu Kelly, Jack dan Aimee serta dua anak lain, iaitu Jessica dan Louis, hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Thelma.
Mendiang Osbourne berkahwin dengan Sharon pada 1982, yang bertindak sebagai pengurus kerjaya solonya.
Pada 5 Julai lalu, Osbourne bersama ahli asal kumpulan Black Sabbath buat kali pertama sejak 2005 membuat kemunculan semula dalam konsert perpisahan, Back to the Beginning di Birmingham dalam keadaan berkerusi roda.
Osbourne juga sempat meluahkan rasa terharunya dapat mengubati kerinduan peminat setelah sekian lama tidak membuat kemunculan kerana sakit yang dialami.
“Saya sudah terlantar selama enam tahun, kamu takkan faham macam mana perasaan saya.. Terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya.
Untuk info, Black Sabbath merupakan kumpulan terkenal yang pernah mencetuskan revolusi dalam muzik rock Britain pada era 1970-an.
Mendiang Osbourne menghasilkan 13 album studio dengan yang terakhir diberi judul, Patient Number 9 terbitan 2022.
Pada era 1980-an dan 1990-an, Osbourne mencapai beberapa kejayaan di carta UK dengan lagu seperti Bark at the Moon (1983) dan Perry Mason (1995).
Pada 2020, Osbourne mendedahkan dirinya menghidap Parkinson dan menjalani pembedahan tulang belakang pada 2022 selepas terjatuh pada 2019.
Mendiang juga pernah meluahkan rasa murung dengan penyakit yang dihadapinya dalam sebuah temu bual bersama The Guardian pada Mei 2025.
“Setiap pagi bangun dengan masalah baharu. Rasanya macam takkan habis.”
Pemergian Osbourne diratapi teman seperjuangan dan peminat di seluruh dunia.-UTUSAN