Ismanira tak cari Zayn Rayyan di lokasi mayat ditemui

Ismanira tak cari Zayn Rayyan di lokasi mayat ditemui

ISMANIRA Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari hadir ke Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, Selangor hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa dia mencari anaknya hampir di semua tempat, kecuali lokasi mayat kanak-kanak itu dijumpai pada 6 Disember 2023.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di kawasan kebun bersebelahan kediaman mereka iaitu Blok R, Apartmen Idaman yang juga berhampiran aliran sungai.

Ismanira Abdul Manaf, 30, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu, lokasi pencarian meliputi tempat-tempat yang pernah dikunjungi bersama mangsa.

Antaranya ialah stesen minyak, bangunan pejabat tempat kerja serta pusat permainan arked dan beberapa kawasan lain dalam lingkungan 500 meter dari rumah mereka.

Ismanira turut bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa semua lokasi tempat pencarian adalah lebih jauh dari blok R berbanding kebun yang menjadi lokasi penemuan mayat.

Raja Zaizul Faridah: Kawasan dekat tak cari (kebun). Kawasan jauh cari, setuju?

Ismanira: Setuju.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh peguam Haresh Mahadevan, Ismanira berkata, dia dan suami, Zaim Ikhwan Zahari tidak mencari Zayn Rayyan di kawasan kebun kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian, memandangkan mangsa tidak pernah dibawa ke kawasan berkenaan.

“Saya kenal anak saya, dia kanak-kanak autisme dan dia akan pergi tempat yang dia biasa pergi tetapi dia tidak pernah pergi ke kebun,” katanya.

Terdahulu, Ismanira memberitahu, dia dan Zaim Ikhwan ada mencari Zayn Rayyan di kesemua 19 blok apartmen itu termasuk sekolah dan beberapa apartmen berhampiran.

Raja Zaizul Faridah: Zayn tahu ke jalan pergi tempat ini?

Ismanira: Tahu.

Raja Zaizul Faridah: Selalu bawa dia naik apa?

Ismanira: Motosikal atau kereta.

Raja Zaizul Faridah: Pernah jalan kaki tak?

Ismanira: Pernah sekali jalan kaki.

Raja Zaizul Faridah: Ke mana?

Ismanira: Bangunan tempat kerja semasa Zayn ikut saya ke tempat kerja.

Pada Isnin lalu, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, dua tahun lalu.

Pasangan itu sebelum ini didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN