SUNGAI PETANI: Projek Pusat Darah Wilayah Utara yang menelan belanja sebanyak RM49.87 juta, dijangka siap sepenuhnya Oktober ini, sekali gus menjadi pusat pengumpulan dan pengurusan darah utama bagi negeri-negeri di utara Semenanjung.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek yang kini mencapai kemajuan fizikal 93 peratus itu berjalan mengikut jadual tanpa sebarang isu kritikal dan membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.
“Projek ini menggunakan kaedah reka dan bina oleh kontraktor MEC Jati Sdn. Bhd. dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pasukan Projek Persekutuan JKR Negeri Kedah.
“Ia dimulakan pada 2 Ogos 2021 dan dijangka memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) menjelang Oktober ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk blok utama pusat darah, blok mekanikal dan elektrikal, kafeteria, kawasan parkir terbuka, pondok pengawal, loji rawatan kumbahan serta rumah sisa buangan klinikal dan kimia.
Fasiliti tersebut turut menyediakan 20 katil khusus untuk pendermaan darah, makmal moden, sistem penapisan dan penyimpanan darah bersuhu -40 darjah Celsius serta logistik bersepadu bagi memastikan keselamatan dan kecukupan bekalan darah.
“Pusat ini akan meningkatkan kecekapan pengurusan darah secara menyeluruh dari proses pendermaan, analisis sehingga ke penyimpanan. Kemudahan ini juga mesra pengguna dan memberi keselesaan kepada penderma serta petugas kesihatan,” katanya.
Menurut beliau, pusat itu bakal menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tabung darah negara khususnya di wilayah utara, selain menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, inklusif dan mampan. – UTUSAN











