Adakah anak berdengkur dengan kuat pada waktu malam atau bernafas melalui mulut ketika tidur? Atau mungkin mengalami kesukaran untuk fokus di sekolah atau bangun pagi dalam keadaan yang sangat letih atau penat?
Jika ya, si kecil mungkin mengalami Apnea Tidur Obstruktif atau Obstructive Sleep Apnea (OSA).
Walaupun OSA semakin mendapat perhatian dan kesedaran mengenainya meningkat dalam kalangan orang dewasa, masih terdapat satu jurang kritikal yang sering diabaikan iaitu impak keadaan ini kepada kanak-kanak.
Sering kali dianggap sebagai sekadar ‘dengkur yang kuat’, OSA dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya mempunyai cabaran serta risiko kesihatan dan perkembangan jangka panjang yang ketara.
Menjelang 10 Julai, Hari Gangguan Saluran Pernafasan Sedunia (World Airway Disorders Day), adalah penting untuk memberi perhatian kepada keadaan seperti OSA pediatrik dan impaknya yang mendalam terhadap kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak.
Hari ini berfungsi sebagai peringatan penting tentang keperluan untuk kesedaran yang lebih besar dan campur tangan awal untuk semua isu berkaitan saluran pernafasan.
Secara asasnya, OSA berlaku apabila tidur terganggu akibat jeda atau pengurangan pernafasan secara berkala, yang disebabkan oleh halangan atau rintangan separa atau sepenuhnya pada saluran pernafasan atas. Dalam kalangan kanak-kanak, punca utama biasanya melibatkan tonsil atau struktur adenoid yang besar.
MASALAH PERGIGIAN
Selain itu, faktor lain seperti obesiti, kelainan pada struktur craniofasial, alahan atau masalah pergigian tertentu juga boleh menyumbang kepada masalah ini.
Lebih membimbangkan, ramai ibu bapa tidak menyedari faktor pergigian boleh memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada masalah ini.
Dalam kebanyakan kes, pakar pergigian merupakan individu pertama yang mengesan tanda-tanda awal OSA semasa pemeriksaan rutin pergigian dan seterusnya merujuk kanak-kanak tersebut kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk penilaian lanjut.
Struktur mulut dan fungsi saluran pernafasan sangat berkait rapat, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar. Bentuk rahang dan lelangit mulut, misalnya, boleh mempengaruhi aliran udara semasa tidur.
Pakar pergigian pediatrik dan pakar ortodontik menerima latihan khusus untuk mengenal pasti isu-isu struktur yang boleh menjejaskan pernafasan, seperti lelangit yang kecil atau tinggi dan melengkung.
Selain itu, jika posisi rahang atas atau bawah terletak sedikit ke belakang daripada posisi yang normal, ia juga boleh menyebabkan apnea tidur.
Tabiat yang sering dilihat dalam kalangan anak-anak seperti menghisap jari atau menolak lidah ke depan (tongue thrusting) juga boleh menyumbang kepada masalah ini kerana jika dibiarkan berlarutan, ia mampu mengubah struktur tulang dan gigi.
Ibu bapa perlu memahami perkaitan antara kesihatan pergigian dan corak pernafasan anak semasa tidur.
Salah satu langkah paling berkesan yang boleh diambil ialah memastikan anak-anak menjalani pemeriksaan pergigian seawal usia enam bulan hingga satu tahun dan secara berkala.
Lawatan ini peluang penting untuk mengesan tanda-tanda awal OSA yang mungkin tidak ketara serta mendedahkan anak-anak kepada klinik pergigian sejak kecil sekali gus mengelakkan perasaan takut atau fobia kepada doktor gigi.
RAWATAN AWAL
Sekiranya terdapat pengesanan awal terhadap mana-mana faktor berisiko, ini membolehkan rujukan dan rawatan dilakukan lebih awal.
Banyak intervensi lebih berkesan apabila dilaksanakan semasa tempoh tumbesaran kanak-kanak.
Sebagai contoh, sesetengah rawatan pergigian untuk OSA menggunakan pendekatan pengubahsuaian tumbesaran iaitu penggunaan alat khas untuk melebarkan rahang atas secara perlahan-lahan, menambah baik mutu saluran pernafasan dan meningkatkan kecekapan aliran udara melalui hidung.
Terdapat juga alat fungsi yang direka untuk menggalakkan pertumbuhan rahang secara optimum supaya rahang atas atau bawah berkembang ke posisi yang lebih sihat ke depan.
Selain itu, ibu bapa digalakkan meneliti keberkesanan terapi myofunctional iaitu satu pendekatan yang semakin popular, menggunakan senaman khusus untuk menguatkan otot lidah dan muka.
Terapi ini sering digunakan sebagai pelengkap kepada rawatan OSA yang lain.
Selain itu, dengkuran yang kuat dan kerap, terutamanya jika disertai bunyi tercekik atau tercungap-cungap, tidak boleh dipandang ringan.
Tabiat bernafas melalui mulut secara berterusan, termasuk ketika berjaga merupakan petanda yang perlu diberi perhatian dan dikongsikan dengan doktor gigi.
Maklumat ini sangat penting bagi membolehkan pakar perubatan mendapatkan gambaran menyeluruh dan merancang penilaian serta rawatan yang sesuai untuk anak.
Selain itu, masih ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari perkaitan antara hiperaktif, kesukaran memberi tumpuan dan prestasi akademik yang menurun dengan gangguan tidur akibat OSA.
Kanak-kanak jarang menunjukkan simptom mengantuk seperti orang dewasa. Sebaliknya, tubuh mereka mungkin bertindak balas melalui tingkah laku kompensasi seperti gelisah atau terlalu aktif. Sebarang kebimbangan berkaitan tingkah laku atau perkembangan anak harus dikongsi dengan doktor, kerana ia mungkin merupakan ‘tanda’ tubuh yang tidak mendapat tidur berkualiti.
Secara kesimpulan, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanda-tanda awal kehadiran OSA.
Pemeriksaan pergigian yang konsisten sejak awal bukan sahaja dapat membantu mengekalkan kesihatan gigi, tetapi juga menjadi kunci kepada pengesanan dan pengurusan awal keadaan seperti OSA sebelum ia menjejaskan kesihatan dan perkembangan jangka panjang si kecil.-UTUSAN
Dr. Nurul Zeety Azizi dan Prof. Madya Dr. Lau May Nak ialah pakar pergigian di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya










