PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. (Proton) melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B yang paling laris dijual, X50 terbaharu bermula pada harga bermula RM89,800 untuk varian Executive, atas jalan tanpa insurans.
SUV tersebut juga tampil dalam varian Premiun pada RM101,800 dan Flagship (RM113,300).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, X50 baharu mencerminkan usaha berterusan Proton dalam menghasilkan reka bentuk dan teknologi automotif terbaik.
“Dengan ciri-ciri terkini, diuji ketahanan secara menyeluruh dan ditawarkan bersama pakej nilai tambah, SUV ini melangkaui jangkaan pengguna.
“Kami berhasrat menetapkan penanda aras baharu dalam segmen B, dengan pengalaman memandu yang pintar, bertenaga dan generasi seterusnya,” katanya pada majlis pelancarannya hari sebentar tadi.
Beliau berkata, sejak mula diperkenalkan pada tahun 2020, X50 telah mentakrifkan semula standard dalam kelasnya dengan lebih 140,000 unit terjual setakat ini, menjadikannya SUV segmen-B paling laris selama lima tahun berturut-turut di Malaysia.
“Hasil kerjasama bersama Geely, model ini merupakan kejayaan global dengan lebih 1.2 juta unit terjual di 51 buah negara.
“Kini, versi terbaharu tampil dengan pelbagai peningkatan menyeluruh dari segi reka bentuk, prestasi, dan teknologi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih bergaya, pintar dan dinamik kepada semua pelanggan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau mengumumkan tawaran istimewa berupa rebat tunai RM4,000 untuk 10,000 pembeli pertama model berkenaan yang mendaftar sebelum 31 Oktober ini.
Selain itu, turut ditawarkan lima pakej khas untuk 10,000 pembeli pertama iaitu Pro Warranty yang memberi jaminan lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan enam kali percuma servis.
Pro Connect iaitu pakej data dua gigabait setiap bulan untuk lima tahun; Pro Trade In yang membolehkan pelanggan menukar dengan kereta Proton lama dan mendapatkan rebat tunai sehingga RM2,000. – UTUSAN