Program Ukhuwah Kepimpinan Madani rapatkan hubungan pemimpin, masyarakat - Utusan Malaysia

Program Ukhuwah Kepimpinan Madani rapatkan hubungan pemimpin, masyarakat

SAIFUDDIN Nasution Ismail bersama menteri dan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan bergambar bersama penduduk pada Program Ukhwah Kepimpinan Madani di Jeti Nelayan Kampung Telok Pelandok, Port Dickson hari ini. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Program Ukhwah Kepimpinan Madani sempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani yang diadakan di sini merupakan peluang untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program yang disertai seramai 40 orang menteri dan bersama Ahli Parlimen dari Kerajaan Perpaduan itu memberi ruang kepada pemimpin terlibat mendekati rakyat secara terus.

“Bayangkan, kami ‘berkampung’ selama dua hari, bukan saja untuk bermesyuarat atau berbincang secara rasmi, tetapi juga untuk beramah mesra dan melihat dengan lebih dekat apa potensi yang wujud di peringkat komuniti. 

“Inilah peluang untuk kami sebagai pemimpin bertemu mata, faham realiti di bawah, dan tahu jenis kemudahan apa yang masih diperlukan oleh masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di Jeti Nelayan Kampung Telok Pelandok, di sini hari ini. 

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, program tersebut bukan sekadar sesi libat urus dalam dewan malah turut merangkumi aktiviti turun padang secara langsung bersama komuniti setempat seperti mengecat jeti dan menyampaikan sumbangan.

“Apabila turun ke lapangan, kita bukan sekadar mengenali masyarakat di kawasan tersebut, tetapi kita turut berpeluang diperkenalkan produk komuniti setempat seperti homestay. 

“Kita dapat melihat sendiri kelebihan yang ada di kawasan ini dan memahami bahawa pendekatan Madani bukan semata-mata untuk membangunkan negara tetapi turut menumpukan kepada pembangunan rakyat dan individu

Saifuddin berkata, Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani merupakan antara pendekatan strategik Kerajaan Perpaduan untuk menyelaras gerak kerja pentadbiran, memperkukuh kerjasama antara kementerian dan mempercepat proses penyampaian dasar-dasar kerajaan melalui penglibatan langsung di lapangan.

“Pada waktu pagi, kami turun ke lapangan bersama penduduk manakala sesi sebelah petang dan malam dipenuhi dengan kuliah,” ujar beliau lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN