Program Tarif Elektrik Hijau diteruskan, kadar premium turun 80 peratus

Program Tarif Elektrik Hijau diteruskan, kadar premium turun 80 peratus

tenaga
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan selepas pelaksanaan tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai semalam dengan beberapa penambahbaikan termasuk penurunan kadar premium lebih 80 peratus.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan memaklumkan, kadar baharu GET akan diperkenalkan dengan struktur harga baharu ‘single tier’ bagi semua kategori pengguna.

Katanya, kadar premium yang sebelum ini dikenakan pada kadar 10 sen/kWj untuk pengguna domestik dan bukan domestik voltan rendah serta 20 sen/kWj bagi pengguna bukan domestik voltan sederhana dan tinggi akan dikurangkan mengikut tempoh langganan.

“Bagi langganan selama setahun, kadar premium baharu ialah 5 sen/kWj, dua tahun pada kadar 4 sen/kWj dan tiga tahun pada kadar 3 sen/kWj,” katanya.

Program GET yang diperkenalkan sejak 2021 merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk menyediakan pilihan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ingin mengurangkan jejak karbon.

Setakat ini, program tersebut telah membekalkan sebanyak 10,500 GWj tenaga hijau kepada lebih 3,551 pengguna daripada pelbagai kategori.

“GET membantu pengguna memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG) khususnya dari segi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca,” katanya.

Petra berkata, pelaksanaan GET bagi tahun 2025 diteruskan berdasarkan prinsip asal dengan penyesuaian sewajarnya selain mengekalkan pengecualian daripada mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) bagi pengguna tertentu.

Katanya, pelanggan sedia ada juga diberikan pilihan untuk menamatkan langganan tanpa penalti sehingga 31 Ogos 2025 sekiranya tidak bersetuju dengan struktur baharu.

Mengambil kira keperluan pemilik pusat data dan pengguna industri serta komersial, Petra turut memperkenalkan penambahbaikan kepada program sedia ada dengan pelaksanaan Program GET Greenpath.

Program baharu itu membolehkan akaun penyewa (tenant account) yang melanggan bekalan elektrik hijau menerima pengiktirafan melalui penyaluran sijil Tenaga Boleh Baharu (REC).

“Langganan GET Greenpath akan mula dibuka pada 1 Ogos 2025 dan tertakluk kepada beberapa kriteria termasuk pendaftaran akaun penyewa serta caj pentadbiran sebanyak 0.2 sen/kWj,” menurut kenyataan itu lagi.

Petra berharap langkah ini akan memberikan keyakinan kepada syarikat korporat dan industri dalam merancang langganan bekalan elektrik hijau, seterusnya memperkukuh kredibiliti program tersebut.

“Usaha ini akan mempelbagaikan pilihan akses tenaga hijau kepada syarikat yang perlu memenuhi komitmen ESG, sejajar prinsip Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN