KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya dua syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera disasarkan untuk disenarai di Bursa Malaysia pada tahun ini menerusi Program Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement (BRAVE).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 15 syarikat akan dipilih untuk fasa awal dengan lima daripadanya menerima bimbingan intensif untuk bersedia menembusi Bursa Malaysia.
Katanya, sebanyak RM15 juta peruntukan disediakan untuk program berkenaan selain jalinan kerjasama dengan kerjasama strategik bersama rakan industri seperti Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), Deloitte, dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC),
“BRAVE menyediakan pembiayaan alternatif sehingga RM1 juta untuk setiap syarikat Bumiputera berprestasi tinggi, pada kadar keuntungan hanya 3.5 peratus dan memperkenalkan pembangunan kapasiti menyeluruh bagi memastikan syarikat bukan hanya bertahan, tetapi untuk melonjak ke satu tahap yang lebih baik.
‘Kemudian ia memperkenalkan pembanguan kapasiti menyeluruh bagi memastikan syarikat bukan hanya bertahan, tetapi melonjak ke satu tahap lebih baik,” katanya pada Peluncuran Program BRAVE Sesi Aspirasi PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick,
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, BRAVE 2030 mesti menjadi gerakan kebangsaan yang melahirkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 syarikat baharu Bumiputera tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau menetapkan tiga hala tuju BRAVE untuk lima tahun akan datang agar sasaran tersebut dapat dicapai.
” Pertama, kita mesti ‘Berani di Senarai, Berani untuk Memimpin’. Kita tidak boleh lagi melahirkan usahawan yang selesa di zon selamat. Kita perlukan usahawan yang berani ambil risiko dan bersedia mentransformasikan model perniagaan melalui teknologi digital, dan automasi.
“Kedua, kita mesti ‘Menyatukan Semua Pemegang Taruh’ dengan mewujudkan satu platform syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi pembiayaan, pelabur strategik, inkubator, syarikat tersenarai dan syarikat Fortune 500 – di bawah satu platform yang tersusun dan bersifat plug-and-play untuk syarikat b umiputera.
“Kita juga mesti memperkenalkan satu Pemetaan Laluan IPO atau Blueprint to Bursa yang mana tidak semua syarikat mesti meneka jalan ke Bursa. BRAVE mesti menyediakan laluan yang jelas, bertahap, dan boleh dijejaki oleh semua yang ingin menyenaraikan syarikatnya,” jelasnya. – UTUSAN









