PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan dua individu berhubung penyanyi terkenal, Shila Amzah, yang mendakwa dirinya telah diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda ketika sesi latihan konsert baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan telah dibuat berhubung kejadian di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, laporan dibuat oleh Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir semalam kira-kira pukul 5.31 petang di Balai Polis Dang Wangi.
“Kita buka satu kertas siasatan berhubung perkara ini dan siasatan awal mendapati tiada sebarang sentuhan fizikal berlaku dalam kejadian itu dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan masih berjalan dan pihak polis sedang berusaha mendapatkan keterangan daripada individu yang didakwa terlibat dalam insiden berkenaan.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan individu yang dikatakan menyerang mangsa masih belum dipanggil.
“Tindakan sedang diambil untuk mendapatkan keterangan daripadanya,” jelasnya.
Menurutnya, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi.
Shila Amzah sebelum ini dilaporkan memuat naik kenyataan di media sosial mengenai dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis lelaki semasa sesi latihan konsert. – UTUSAN










