PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menolak gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli agar ahli Parlimen menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut dalam badan kehakiman negara.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beberapa ahli Parlimennya telah menerima sepucuk surat bertarikh 9 Julai 2025 daripada Mohd. Rafizi yang menggesa penubuhan RCI bagi menyiasat pelantikan ke jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.
Katanya, surat bertajuk ‘Sokongan Terhadap Tuntutan Menegakkan Integriti Kehakiman Negara’ itu antara lain menyentuh isu pelantikan hakim, peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) serta kuasa Perdana Menteri dalam menentukan pelantikan di mahkamah tertinggi.
“Ahli Parlimen PN secara dasarnya menghargai pendirian Mohd. Rafizi dalam soal integriti kehakiman negara yang sebahagian besarnya selari dengan pendirian PN sejak dahulu.
“Namun, dalam isu cadangan penubuhan RCI, kami berbeza pandangan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Mohd. Rafizi mengutus surat rasmi kepada semua ahli Parlimen agar menyokong cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan melibatkan integriti dalam proses pelantikan kehakiman di negara ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut menggesa semua ahli Parlimen untuk menyokong Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi untuk menyiasat.
Takiyuddin berkata, cadangan penubuhan RCI bukanlah mekanisme yang mencukupi dan berkesan kerana ia masih tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Pendirian ini juga selaras dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kami tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan penubuhan RCI bagi menyiasat dirinya sendiri.
“Tambahan pula, ia memerlukan keputusan Kabinet yang turut dipengerusikan oleh beliau,” katanya.
Katanya, semua ahli Parlimen PN tidak dapat menyatakan sokongan terhadap gesaan tersebut.
“Bagaimanapun, PN akan terus meneliti dan menilai sebarang isu berkaitan yang dibangkitkan Mohd. Rafizi dalam Sidang Dewan Rakyat yang bermula 21 Julai ini,” katanya. – UTUSAN











