PLUS, UEM Lestra teroka kerjasama projek solar berskala besar

PLUS, UEM Lestra teroka kerjasama projek solar berskala besar

NIK Airina Nik Jaffar (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Harman Faiz Habib Muhamad selepas majlis menandatangani MoU di Persada PLUS, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), anak syarikat kepada UEM Group Berhad (UEM Group) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka secara bersama pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS).

Projek ini bermula dengan pembangunan ladang solar di tanah milik PLUS di Ayer Keroh, Melaka. 

Kerjasama ini merangkumi cadangan pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 80.94 hektar, fasa 2 dalam Pelan Utama Konsep Tanah Ayer Keroh oleh PLUS. 

Keseluruhan pelan induk ini merangkumi tanah seluas 136.78 hektar bagi pembangunan bercampur yang turut merangkumi pembangunan runcit mobiliti dan perumahan di bawah fasa 1 dan 3. 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama dengan UEM Lestra mencerminkan komitmen PLUS dalam memainkan peranan proaktif terhadap pembangunan lestari dengan memanfaatkan infrastruktur dan aset tanah strategik untuk menjana tenaga boleh diperbaharui dan menyokong sasaran sifar bersih negara.

“Inisiatif ini juga turut menyokong pelan jangka panjang PLUS ke arah lebuh raya yang selamat, lestari dan pintar, sekali gus mengukuhkan lagi peranan kami sebagai rakan pembangunan negara yang menerajui inovasi dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

MoU ini turut merangkumi usaha bersama untuk mengenal pasti tapak-tapak lain yang bersesuaian dengan tujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menyokong agenda kelestarian negara. 

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Nik Airina dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad di Persada PLUS, baru-baru ini.

Harman Faiz berkata, kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian penting perancangan strategik UEM Lestra dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. 

“Berdasarkan kepada pengetahuan teknikal serta keupayaan pengurusan projek, kami komited untuk merealisasikan pembangunan projek ladang solar berskala besar yang lestari dan berimpak tinggi di tanah milik PLUS di Ayer Keroh serta inisiatif-inisiatif lain yang seumpamanya,” ujarnya.

UEM Lestra, dikenali dengan portfolio tenaga boleh baharu yang terbukti serta keupayaan teknikalnya akan menerajui perancangan dan penilaian kebolehlaksanaan projek LSS. 

Pemeteraian MoU ini sejajar dengan aspirasi nasional negara untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang tahun 2050.

Ia juga menandakan permulaan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat dalam merealisasikan visi yang lebih luas untuk membuka potensi aset tanah milik PLUS bagi pembangunan baharu termasuk infrastruktur hijau dan inisiatif lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN