BAGAN SERAI: Kawasan jelapang padi daerah Kerian di sini perlu segera diisytihar sebagai kawasan bencana berikutan musim panas yang menjejaskan bekalan air akibat paras air Tasik Bukit Merah yang surut.
Gesaan itu hadir daripada Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) yang melihat pengisytiharan darurat membolehkan pesawah membuat tuntutan perlindungan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk pesawah mendapatkan bantuan.
Menurut Timbalan Pengerusi Pesawah, Azhar Hashim, masalah kekurangan bekalan air ke sawah di Kerian semakin kritikal akibat sumber air untuk pertanian daerah ini iaitu Tasik Bukit Merah semakin surut disebabkan cuaca panas.
“Kami memohon agar kerajaan segera mengisytiharkan kawasan padi Kerian sebagai kawasan bencana. Ini untuk membolehkan pesawah yang terkesan menuntut perlindungan insurans di bawah skim takaful yang disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, pihaknya mengesan berlaku kebakaran hutan tanah gambut di beberapa tempat di kawasan Tasik Bukit Merah.
Menurutnya, paras air yang terlalu cetek telah menukar kawasan berair menjadi daratan kering sekali gus mudah terbakar apabila terdedah kepada cuaca panas melampau.
“Saya sendiri telah meninjau keadaan tanah gambut di tepi tasik yang terbakar. Kebakaran dikesan sejak beberapa hari lalu.
“Kerajaan wajar mengambil peluang ketika musim kering untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan tasik ini kerana ia lebih mudah dilakukan ketika air cetek.
“Keadaan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk mendalamkan kawasan kolam kerana apabila musim hujan tiba nanti, kapasiti takungan air akan menjadi lebih besar dan dapat menampung keperluan pengairan sawah,” katanya.
Mengulas kekurangan bekalan air untuk pesawah, Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berkata, masalah itu semakin kritikal yang menyebabkan beberapa blok penanaman di Kerian kini kering kontang.
Beliau berkata, anak padi yang baru ditanam berusia sekitar 50 hari sudah tentu akan terjejas ketumbesarannya berikutan ketiadaan air dalam sawah.
“Untuk itu kerajaan perlu sediakan peruntukan khas bagi bantuan bencana kepada pesawah-pesawah yang tidak mendapat hasil langsung atau mengalami kemerosotan ketara,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan penyusutan air di Tasik Bukit Merah yang berlaku setiap kali musim kemarau menjejas 8,800 pesawah melibatkan kawasan seluas 12,400 hektar di Mukim Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Selinsing.
Tasik seluas 40 kilometer persegi itu merupakan nadi utama sumber pengairan di Kerian.-UTUSAN