REMBAU: Seorang siswazah dalam bidang syariah muamalat mampu mencatatkan jualan sehingga RM30,000 sebulan bagi empat jenis benih ikan.
Muhammad Arif Mohd Yasin, 33, juga merupakan satu-satunya bumiputera di negeri ini yang menawarkan khidmat penetasan berskala komersial bagi benih ikan keli, baung, patin dan tilapia
Katanya, dia sejak awal tidak kekok mengusahakan perniagaan itu kerana telah membantu ibunya Fatimah Awang, 61, dan bapanya Mohd. Yasin Mohd. Said, 67, menternak ikan sejak dari bangku sekolah.
“Sejak 10 tahun lalu, saya sudah nampak potensi jualan benih ikan ini. Apabila pulang dari Indonesia selepas mempelajari bahasa Arab di sekolah pondok, saya nekad untuk mengusahakan perniagaan benih ikan.
“Pada masa yang sama, saya menyambung pelajaran dan menjalankan perniagaan. Alhamdulillah, kini saya mampu memenuhi permintaan orang tengah di sekitar negeri ini dan Melaka manakala bagi benih ikan tilapia pula permintaannya sehingga ke Terengganu,” katanya ketika ditemui di di Kampung Gadong, di sini, semalam.
Ujar Muhammad Arif lagi, sekurang-kurangnya pada setiap minggu dia akan melakukan pembenihan ikan mengikut permintaan di dalam 10 kolam dan secara puratanya sekitar 400,000 benih ikan mampu dihasilkan dalam masa sebulan.
Menurutnya, cabaran utama pembenihan ikan itu adalah keadaan cuaca kerana pembenihan memerlukan keadaan yang panas dan sekiranya hujan, pembenihan ikan kurang menjadi. – UTUSAN










