PASIR PUTEH: Bermula sebagai pelukis mural selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamad Haris Hilmi Norhasram, 30, kini menempa nama dalam dunia replika makanan yang kelihatan seperti nyata.
Anak jati Kampung Baru, di sini itu menghasilkan replika makanan sejak tiga tahun lalu menggunakan bahan seperti air dry clay, cat akrilik dan epoxy resin bagi menghasilkan tekstur makanan serta kuah.
Katanya, minat terhadap seni miniatur bermula secara tidak sengaja apabila dia ingin menghasilkan hiasan makanan unik sebagai hadiah.
“Saya tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakkan dan sehingga sudah menyiapkan lebih 500 replika makanan pelbagai jenis. Tempahan biasanya daripada pemilik restoran untuk dijadikan bahan pameran menu selain individu yang mahukan replika sebagai hadiah kenangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Menurut Haris Hilmi, setakat ini, semangkuk replika mi tarik atau hidangan nasi ayam boleh mencecah antara RM80 hingga RM100 bergantung kepada perincian dan penelitian menghasilkannya.
Mengulas mengenai proses pembuatannya, katanya, sebuah replika lazimnya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan bergantung kepada tahap kesukaran dan jumlah pesanan.
“Tanah liat perlu dibentuk, dijemur sehingga kering dan kemudian dilukis menggunakan berus halus. Ia satu bentuk seni halus yang memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana setiap warna, bayang dan tekstur perlu disesuaikan agar nampak benar-benar realistik,” katanya. – UTUSAN










