KANGAR: Faktor-faktor yang menjadi penyumbang terbesar peningkatan suhu cuaca di Malaysia adalah berpunca daripada corak cuaca bermusim, perubahan iklim global, proses perbandaran serta aktiviti manusia.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, faktor pertama ialah apabila musim Monsun Barat Daya yang berlaku dari Jun hingga September dicirikan oleh keadaan cuaca kering, taburan hujan sedikit serta pembentukan awan minimum.
Ujar beliau, keadaan tersebut menyebabkan pancaran matahari sampai secara lebih langsung ke permukaan bumi tanpa banyak halangan, seterusnya meningkatkan suhu harian ketara.
“Ketiadaan hujan yang konsisten juga mengurangkan kelembapan semula jadi dalam tanah dan udara, menjadikan persekitaran lebih panas dan gersang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia mencatatkan suhu ekstrem mencecah 40
hingga 45 darjah Celsius, selari dengan tren peningkatan suhu purata tahunan sebanyak +0.17 darjah Celsius setiap dekad sejak 1969, sekali gus menjadikan tahun 2025 sebagai tahun paling panas dalam sejarah moden negara.
Kesannya, sehingga minggu ketiga bulan ini, lebih 300 kes keletihan haba dilaporkan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas malah risiko strok haba juga semakin meningkat di kalangan pekerja luar seperti buruh binaan,
petani dan askar.
Kata Norazian, fenomena pemanasan global juga menjadi pemacu utama kepada peningkatan suhu secara menyeluruh di seluruh dunia, termasuk Malaysia dan El Nino yang berlarutan sejak akhir tahun 2023 hingga pertengahan 2025 telah memberi kesan besar kepada pola cuaca.
Ujarnya, ia menyebabkan gangguan kepada sistem hujan tropika, meningkatkan suhu permukaan laut dan membawa kepada kemarau serta cuaca kering yang berpanjangan.
“Menurut laporan daripada National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) dan World Meteorological Organization (WMO), tahun 2025 dijangka menjadi antara tahun paling panas pernah direkodkan dalam sejarah moden.
“Selain itu, kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia yang mana asap tebal dari kebakaran itu dibawa angin ke arah Malaysia, khususnya Negeri Sembilan dan Lembah Klang sekali gus menyebabkan penurunan kualiti udara dan jarak pandang turun kepada 300–400 meter khususnya di Klang dengan Indeks Pencemaran Udara (API) pula mencapai antara 152 hingga 157.
“Kedua-dua fenomena iaitu cuaca panas melampau di Malaysia dan kebakaran hutan di Indonesia sangat berkait. Musim Monsun Barat Daya (Jun–September) membawa cuaca kering yang mempercepat pertumbuhan kebakaran di Indonesia dan pada masa sama membolehkan asap terbawa ke semenanjung Malaysia.
“Ini memburukkan lagi keadaan di mana suhu sudah pun tinggi dan asap ini boleh menjerat haba di lapisan atmosfera, menyebabkan suhu terasa lebih panas (heat trapping) dan menjejaskan keselesaan serta kesihatan masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, perbandaran pesat dan pertumbuhan bandar di Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan suhu, terutamanya melalui fenomena Urban Heat Island (UHI).
Ujarnya, bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru dan Seremban mencatatkan suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar kerana permukaan konkrit dan asfalt menyerap serta memerangkap haba pada siang hari dan melepaskannya secara perlahan pada waktu malam.
“Selain itu, kurangnya kawasan hijau dan tumbuhan dalam bandar juga mengurangkan keupayaan alam semula jadi untuk menyejukkan persekitaran, menjadikan malam turut terasa panas dan tidak nyaman,” katanya.
Kata beliau, faktor terakhir ialah aktiviti manusia yang menyumbang secara langsung kepada pemanasan tempatan dan global.
Katanya, ia seperti penebangan hutan, pembukaan kawasan ladang secara besar-besaran, pembakaran terbuka serta pelepasan gas rumah hijau daripada kenderaan dan industri yang sekali gus telah mengganggu keseimbangan semula jadi sistem iklim.
“Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan suhu setempat tetapi juga mempercepatkan perubahan pola cuaca dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN