PUTRAJAYA: Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Datuk. Seri Anwar Ibrahim dilihat meninggalkan Kompleks Seri Perdana , di sini, kira-kira pukul 9.34 malam tadi.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan Perdana Menteri gagal apabila kenderaan yang membawanya tidak berhenti apabila ditahan sekumpulan pengamal media yang berada di luar perkarangan bangunan itu.
Sebelum itu, kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mula meninggalkan Kompleks Seri Perdana kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Bagaimanapun, semua Ahli Parlimen yang hadir pada malam tadi tidak memberhentikan kenderaan masing-masing sebaik ditahan pengamal media.
Kesemua kenderaan dilihat meninggalkan Kompleks Seri Perdana sekitar pukul 10 malam tadi.
Difahamkan, pertemuan Ahli Parlimen BN bersama Perdana Menteri itu berlangsung selama satu jam 30 minit.
Terdahulu, kesemua Ahli Parlimen BN itu dilihat mula memasuki bangunan itu bermula kira-kira pukul 7.20 malam tadi.
Difahamkan, Perdana Menteri mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen BN malam ini.
Tidak dipastikan apa tujuan dan agenda pertemuan itu namun, ia mungkin ada kaitan bagi membincangkan isu semasa termasuk pada sidang parlimen dan perkara membabitkan badan kehakiman. – UTUSAN