KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dijangka mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar China, Wang Yi di ibu negara, hari ini.
Pertemuan itu dijadualkan berlangsung ketika isu tarif perdagangan yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump menjadi fokus utama dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Ia juga merupakan pertemuan pertama secara bersemuka antara kedua-dua tokoh diplomatik itu selepas Trump kembali memegang jawatan sekali gus menandakan detik penting dalam hubungan dua hala yang terus tegang melibatkan isu perdagangan, fentanyl, Taiwan dan teknologi.
Kedua-dua pemimpin itu kini berada di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang turut disertai negara rakan seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.
Sebelum ini, pegawai-pegawai AS memaklumkan, lawatan sulung Rubio ke rantau ini sebagai Setiausaha Negara, mencerminkan komitmen Washington yang semakin kukuh terhadap Asia Timur dan Asia Tenggara.
Semalam, dalam ucapannya, Rubio menegaskan, AS tidak berhasrat untuk meminggirkan rantau Asia-Pasifik, malah komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara serantau.
Namun begitu, isu tarif kekal membayangi sidang berkenaan apabila Rubio dilihat cuba meyakinkan rakan dagang Asia bahawa rundingan perdagangan masih berjalan dan mungkin menghasilkan kadar tarif yang lebih baik berbanding negara lain.
Sebelum ini, Trump mengugut untuk mengenakan tarif punitif antara 20 hingga 50 peratus ke atas lebih 20 negara terutamanya di Asia sekiranya mereka gagal mencapai persetujuan perdagangan dengan Washington menjelang 1 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut memberi reaksi terhadap isu berkenaan dengan menyifatkan tarif sebagai instrumen persaingan geopolitik yang semakin tajam.
Sementara itu, Wang Yi dalam kenyataannya semalam menyeru kepada pembentukan satu susunan antarabangsa yang lebih adil dan munasabah.
“Kita kini berdepan cabaran seperti kesan perlindungan unilateral dan penyalahgunaan tarif oleh sebuah kuasa besar,” katanya.
Ketegangan antara Washington dan Beijing semakin memuncak sejak Trump kembali memegang tampuk pemerintahan Januari lalu dengan perang tarif antara kedua-dua negara itu menyaksikan kadar duti import dan eksport melonjak ke tahap luar jangka.
Terdahulu, AS mengenakan tarif tambahan sehingga 145 peratus ke atas produk dari China manakala China pula bertindak balas dengan mengenakan tarif sehingga 125 peratus terhadap barangan dari AS.
Bagaimanapun, pada Mei lalu, kedua-dua pihak bersetuju mengurangkan tarif buat sementara waktu dalam satu perkembangan yang disifatkan Trump sebagai penetapan semula sepenuhnya dalam hubungan perdagangan AS-China. – UTUSAN