Perolehan aset terbaharu TUDM selaras ancaman moden

Perolehan aset terbaharu TUDM selaras ancaman moden

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris bergambar pada Majlis Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-21, di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus memperkukuh kesiagaan dan keupayaan tempur selaras dengan kehendak pertahanan moden yang semakin mencabar.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, perolehan aset strategik dilaksanakan secara berfasa dan realistik, berpandukan keupayaan kewangan negara serta mengambil kira cabaran keselamatan serantau dan global.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan semasa. TUDM dijangka menerima pesawat pemantauan maritim (MPA) pertama pada tahun hadapan.

“Ini merupakan aset baharu yang belum pernah kita miliki sebelum ini dan ia akan memperkukuh keupayaan rondaan dan pengawasan udara di kawasan perairan strategik negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perintah Ulung selaku Panglima Tentera Udara ke-21 di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Menurut beliau, TUDM memerlukan enam buah pesawat ATR 72 MPA menjelang 2035 seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55) yang dilaksanakan melalui tiga fasa.

Dalam usaha memperkukuh keupayaan pemantauan berterusan, Muhamad Norazlan berkata, TUDM bakal menerima buat kali pertama sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) jenis ANKA buatan Turkiye pada Mei 2023.

“Sistem ANKA ini mampu terbang melebihi 24 jam untuk pemantauan strategik di ruang udara dan kawasan perairan. Latihan pengendali telah dimulakan dan insya-Allah, pesawat akan diserahkan kepada TUDM menjelang hujung tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata, TUDM juga menanti ketibaan FLIT-LCA (Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft) pada tahun 2026 bagi menggantikan pesawat lama serta melatih juruterbang menggunakan teknologi dan platform moden.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua perolehan aset dan penyesuaian doktrin pertahanan akan terus digerakkan berdasarkan keperluan semasa serta berlandaskan pengajaran daripada konflik global termasuk di Iran, Israel, India, Pakistan, Rusia dan Ukraine.

“Pendekatan ini penting agar TUDM kekal relevan, berwibawa dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang bentuk peperangan moden,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Norazlan turut menggariskan enam tonggak utama dalam Perintah Ulung beliau yang akan menjadi panduan strategik kepada seluruh warga TUDM dalam mendepani cabaran keselamatan masa hadapan.

Katanya, tonggak pertama memberi penekanan kepada pencapaian keupayaan dan kesiagaan tertinggi agar TUDM kekal sebagai kuasa udara utama negara serta berperanan sebagai daya tindak pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelaksanaan strategi cegah rintang.

Tonggak kedua, katanya, memberi fokus kepada kemampanan aset pertahanan udara, khususnya dalam aspek pengurusan dan pemuliharaan aset strategik secara berterusan bagi menjamin kelangsungan operasi udara negara.

Sementara itu, tonggak ketiga hingga kelima merangkumi pemerkasaan kompetensi dan integriti warga TUDM, pengukuhan sistem sokongan logistik serta penyelarasan doktrin dan prosedur selaras dengan hala tuju pelaksanaan strategi udara secara menyeluruh.

  1. “Tonggak keenam pula menumpukan kepada usaha melestarikan kebajikan, moral, kesihatan dan kesejahteraan warga TUDM sebagai asas kepada kecemerlangan organisasi secara holistik,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN