Siapa sangka di sebalik kegemilangan kumpulan Spider yang telah mewarnai industri muzik tanah air selama tiga dekad, pernah ada satu ketika di mana mereka sebenarnya hampir menekan ‘butang berhenti’ dalam dunia hiburan.
Bukan kerana kurang sambutan atau hilang arah, tetapi kerana kehilangan dua figura penting yang pernah menjadi tulang belakang kumpulan itu iaitu Tony dan Nafie.
Kehilangan dua anggota asal ini bukan sahaja meninggalkan kekosongan dari segi muzik, malah memberi kesan mendalam kepada semangat dalaman kumpulan tersebut.
“Memang pernah terfikir nak berhenti. Rasa macam ‘eh, cukup lah’. Pendek kata iya, perkara itu pernah singgah di hati.
“Ia terutama apabila kawan yang kita kenal lama, yang sama-sama bina nama, tiba-tiba tidak ada, memang rasa kosong.
“Tetapi bila tengok balik, kita sudah bina hubungan dengan peminat sepanjang tempoh dua dekad ini, kerjaya ini sudah jadi macam satu tanggungjawab,” luah Tam, vokalis Spider ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, perkara itu sekadar berlaku di angin lalu berikutan memahami hasrat peminat yang tentunya enggan Spider kembali ke sarang.
Selain itu, Tam turut mengakui bahawa tiada yang dapat menggantikan sentuhan asal Allahyarham Tony dan Nafie, meskipun kedua-duanya telah tiada.
Namun begitu, Tam percaya bahawa anggota baharu yang menyertai Spider kini membawa nilai tersendiri.
“Mestilah air tangan itu tak sama, jadi lain. Tapi saya percaya dengan dua player baru saya ini, mereka ada keistimewaan dan cara permainan sendiri.
“Mereka bukan saja mampu membaca nota lagu, tapi perlahan-lahan serap jiwa Spider itu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, proses menyesuaikan diri bukanlah sesuatu yang mudah bagi anggota baru, malah untuk mana-mana band sekali pun.
Bukan itu sahaja, Tam juga percaya setiap individu berbeza bahkan ada yang mengambil masa berminggu untuk menghafal dan memahami lagu-lagu Spider yang bukan calang-calang jumlahnya.
“Kita ada banyak lagu. Dan setiap satu lagu bukan senang. Anggota baru kita ini pun sampai seminggu fikir line dia, cara main.
“Tapi,Alhamdulillah, selepas beberapa konsert, nampak progres dia. Walaupun muka dia biru sikit,” gurau Tam sambil tertawa kecil.
Bukan Sekadar Muzik
Berkongsi mengenai muzik, kata Tam, meneruskan perjuangan Spider bukan lagi soal populariti atau kerjaya semata-mata.
Ia kini menjadi sebuah amanah, bukan hanya kepada industri, tetapi kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong dari awal hingga sekarang.
“Kita dah jadi sebahagian daripada hidup peminat. Bila buat showcase, orang datang semata-mata nak dengar lagu-lagu kita secara live. Tak akan nak berhenti waktu itu?” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Tam turut menyatakan rasa terharu kerana konsert berskala besar pertama Spider hanya akhirnya berjaya direalisasikan selepas lebih 20 tahun dalam industri.
Bagaimanapun, sukar untuknya membuang rasa terkilan kerana malangnya ia bakal berlangsung tanpa kehadiran Tony dan Nafie.
“Masa konsert itu, saya rasa ralat sangat. Kalau mereka ada, tentu lagi bermakna. Tapi kita kena jalan juga.
“Kita ambil semangat mereka, kita teruskan,” ujarnya.
Mengulas mengenai resipi kekuatan Spider yang masih kekal relevan hingga kini, Tam tidak teragak-agak menekankan kepentingan nilai kebersamaan.
“Kami sama, masih selalu berhubungan sebagai sahabat setiap masa. Tak boleh seorang sahaja fikir mengenai kumpulan ini, semua benda kena rancang sama-sama sebagai sebuah kumpulan.
“Itu yang kami pegang sampai sekarang,”luahnya.
Menurutnya lagi, kejayaan yang diraih Spider sehingga mampu berada di tahap ini juga bukan semata-mata bergantung kepada bakat atau populariti.
Tetapi kata Tam, ia terletak kepada kesefahaman dan disiplin dalam menjaga ‘mood’ dan mutu persembahan, yang mana ia satu perkara yang hanya boleh dicapai melalui perancangan dan kerjasama erat sesama ahli.
Konsert Unplugged
Menghargai kesetiaan peminatnya yang terus bersama mereka hampir 30 tahun, kumpulan legenda ini bakal menggegarkan pentas dengan sisi berbeza daripada sebelum ini menerusi konsert Spider Unplugged, sebuah persembahan istimewa yang jarang dipraktikkan dalam kalangan band rock khususnya di negara ini.
Bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan, Tam berkata konsert unplugged dalam format akustik itu merupakan antara impian yang sudah lama dihasratkan, akan menampilkan susunan muzik lebih intim, dinamik dan bertenaga.
“la agak mencabar kerana unplugged biasanya dipersembahkan dalam bentuk showcase tapi kali ini, kita buat dalam konsert besar, mungkin ada lagu yang diolah semula dalam gaya joget, inang atau dimainkan perlahan dengan iringan gendang,”katanya.
Sementara itu, penganjur Naga Legend Entertainment Fandy Alias berkata, Spider dipilih kerana muzik mereka yang kekal relevan dan berpotensi untuk diteroka dalam pendekatan baharu yang lebih segar.
“Walaupun banyak konsert dianjurkan kebelakangan ini, Spider Unplugged pasti beri pengalaman berbeza. Kita dah lama tak ada konsert unplugged berskala besar seperti ini. Siapa yang tak datang, pasti rugi,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM198 hingga RM388 dan boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com/spiderunplugged.