Isu Palestin kekal sebagai antara isu paling kritikal dalam politik antarabangsa yang menyentuh naluri kemanusiaan sejagat.
Di sebalik keperitan penderitaan rakyat Palestin yang berpanjangan akibat penjajahan, kekejaman tentera Zionis dan sekatan ekonomi yang menindas, dunia masih tercari-cari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan ke atasnya.
Walaupun begitu media melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih bagi mendesak pemimpin Israel itu menamatkan peperangan dengan Hamas di Gaza.
Trump dilaporkan berkata, Israel bersetuju menghentikan pertempuran selama 60 hari, manakala Hamas memberi maklum balas positif terhadap cadangan yang disokong AS.
Laporan terbaharu mengenai perbincangan antara pihak Israel dan Hamas untuk melaksanakan satu bentuk gencatan senjata ini telah mencetuskan reaksi berhati-hati tetapi positif dari pelbagai negara.
Jika benar-benar dilaksanakan, ini bakal menjadi titik permulaan baharu ke arah menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat yang semakin meruncing.
ASEAN dijangka tidak akan melepaskan peluang ini untuk menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha ke arah perdamaian yang tulen dan berkekalan.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan tuan rumah AMM-58 mempunyai tanggungjawab besar untuk memimpin suara serantau dalam menyokong pelaksanaan gencatan senjata tersebut.
Dalam konteks ini, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 (AMM-58) yang bakal berlangsung dari 8 hingga 11 Julai ini di Kuala Lumpur membawa harapan baharu apabila isu Palestin dijangka mendapat tumpuan serius selari dengan perkembangan terbaharu kemungkinan Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata.
Penegasan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, bahawa ini isu penting bagi ASEAN adalah dialu-alukan. Beliau juga berkata AMM-58 dan Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) akan menyatakan pendirian mengenainya.
CEAPAD IV yang akan dipengerusikan bersama oleh Malaysia, Jepun dan Palestin akan memberi tumpuan kepada program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin serta penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh dan berkesan.
CEAPAD IV dijangka menjadi platform paling signifikan untuk negara-negara Asia Timur termasuk ASEAN menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin serta membincangkan langkah sokongan kepada pembangunan semula negara itu pasca-konflik.
Konsistensi ASEAN Menyokong Palestin
ASEAN secara kolektif telah lama menunjukkan konsistensi dalam menyokong rakyat Palestin.
Menteri-menteri Luar ASEAN pada 12 Februari lalu menegaskan sokongan berterusan terhadap hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan termasuk hak menentukan nasib sendiri serta tanah air mereka.
Mereka menggesa semua pihak yang terlibat agar menyertai dialog yang bermakna untuk mencapai penyelesaian aman dan komprehensif bagi konflik yang berlarutan ini, berdasarkan penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berkaitan.
Ini termasuk Resolusi UNGA A/RES/ES-10/23 yang diterima pakai pada 10 Mei 2024 dan disokong oleh semua anggota ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 Mei lalu berkata ASEAN tidak boleh berdiam diri terhadap krisis global seperti kekejaman dan penindasan berterusan rejim Zionis terhadap penduduk di Gaza
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan mengetuai seruan supaya masyarakat antarabangsa tidak bersikap selektif dalam menangani konflik kemanusiaan dan menyokong penyelesaian dua negara (two-state solution) berdasarkan sempadan 1967 seperti yang ditetapkan dalam resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Ini memang disuarakan oleh Malaysia dalam pelbagai forum antarabangsa. Mohamad Hasan sendiri contohnya, sewaktu menyampaikan kenyataan negara di Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada 7 Mac lalu.
Beliau dengan lantang menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab OIC dan masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel mematuhi kewajipan gencatan senjatanya, termasuk membenarkan bekalan bantuan kemanusiaan terus disalurkan ke Gaza, melaksanakan fasa-fasa susulan perjanjian gencatan senjata, menghentikan sepenuhnya operasi ketenteraan serta memulakan semula proses pembinaan semula dan pemulihan Gaza.
AMM-58: Menyatukan Pendirian ASEAN Terhadap Asia Barat
Atas faktor ini, Menteri-Menteri Luar ASEAN pastinya akan membincangkan dan membentuk pendirian bersama mengenai sebarang perkembangan positif berkaitan rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas berdasarkan perkembangan semasa.
Ini sejajar dengan matlamat utama ASEAN untuk menjadi suara yang berprinsip dalam isu-isu antarabangsa, khususnya apabila menyentuh soal kemanusiaan dan hak rakyat yang tertindas.
Pendirian ASEAN dalam isu Palestin harus dijadikan wadah bersama untuk menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk kuasa besar, agar tidak terus melengahkan penyelesaian yang adil kepada rakyat Palestin.
Isu ini juga perlu diangkat dalam forum-forum seperti OIC, PBB dan G77+China bagi membina tekanan antarabangsa terhadap Israel.
Ini kerana konflik Palestin adalah cerminan sejauh mana dunia dan rantau seperti ASEAN bersedia mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.
Dalam dunia yang semakin terpolarisasi dan selektif terhadap penderitaan rakyat tertindas, ASEAN tidak boleh kekal pasif.
AMM-58 menjadi peluang terbaik bagi ASEAN untuk bangkit sebagai blok yang bukan sahaja strategik dari sudut ekonomi dan geopolitik, tetapi juga bermaruah dari sudut moral dan kemanusiaan.
Pendirian ASEAN terhadap isu Palestin akan menjadi kayu ukur komitmen rantau ini terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan hak untuk hidup aman bagi setiap bangsa.
Sebagai nadi diplomasi serantau, Malaysia kini memimpin ASEAN ke arah suara yang lebih lantang, lebih bersatu dan lebih berani menyatakan kebenaran dalam isu Palestin.
Penulis ialah Profesor Madya Dr. Nazariah Osman, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM). – UTUSAN