Perak mohon segerakan pemindahan air Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah - Utusan Malaysia

Perak mohon segerakan pemindahan air Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah

SAARANI Mohamad (kanan) mendengar aduan orang ramai pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak akan bermesyuarat dengan Kerajaan Persekutuan pada Rabu ini bagi membincangkan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah untuk mengatasi masalah akibat musim kemarau di utara negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sangat berharap agar kerajaan Pusat dapat menyegerakan projek tersebut ekoran kekeringan Tasik Bukit Merah telah menjejaskan pembekalan air ke sawah padi.

“Pada asalnya permintaan kita hanya khusus untuk mengatasi masalah pengairan di utara negeri Perak. Tetapi apabila ada pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan permintaan air oleh Pulau Pinang, maka permintaan itu dipakejkan.

“Jadi bukan sahaja pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan pembinaan loji rawatan air (LRA) bagi membolehkan air bersih untuk kegunaan KIGIP dan orang di utara Perak, malah lebihannya dijual sebagai terawat kepada Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.

Musim kemarau sering melanda utara negeri Perak sehingga menyebabkan Tasik Bukit Merah kering selain berlakunya kekeringan Tasik Taiping pada hujung Julai 2024 yang disifatkan satu fenomena luar biasa.

Pada Ogos 2024, Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan dianggarkan RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian.

Masalah kekeringan yang berulang pada waktu ini telah menyebabkan para pesawah menggesa agar pelaksanaan projek pemindahan air itu dipercepatkan.

Ditanya mengenai cadangan melancarkan pembenihan awan, Saarani berkata perkara itu akan diputuskan oleh pihak berkaitan termasuk nasihat Jabatan Meteorologi agar tindakan tersebut tidak menjadi sia-sia.

“Pada tahun 2022 sewaktu pembenihan awan dilakukan, hujan tidak turun dalam kolam Bukit Merah. Sebaliknya turun di tempat lain.

“Hal itu berkaitan dengan angin. Oleh kerana itu, tidak begitu mudah untuk kita melakukan pembenihan awan melainkan mendapatkan nasihat teknikal daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN