PETALING JAYA: Bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang memerintahkan isterinya membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari, yang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu berkata, beliau terkilan dengan keadaan yang berlaku terutamanya selepas memberi sepenuh kerjasama dan kepercayaan kepada pihak polis untuk mencari pembunuh sebenar anaknya.
“Saya kecewa dengan pihak polis. Sepanjang saya beri kerjasama, beri kepercayaan kepada mereka untuk menangkap pembunuh di luar sana, ini ke hasilnya?
“Memang sangat kecewa. Sepatutnya pertuduhan (mengabaikan anak) ini memang tak ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding.
Terdahulu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan dan membebaskan beliau daripada pertuduhan bersama-sama mengabaikan Zayn Rayyan.
Bagaimanapun, isterinya, Ismanira Abdul Manaf diperintahkan membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap wanita itu.
Peguam bela, Haresh Mahadevan berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan menganggap tidak pelik apabila hanya seorang daripada dua tertuduh dipanggil membela diri.
“Zaim dibebaskan manakala Ismanira dipanggil untuk membela diri. Ismanira sudah beri keterangan sejak pagi dan perkara tersebut adalah normal dalam kes seperti ini,” katanya.
Sementara itu, peguam Ramzani Idris yang turut mewakili pasangan terbabit berkata, anak guamnya tenang dengan perkembangan terbaharu itu.
“Perasaan mereka biasa sahaja. Tidak sedih dan tidak gembira kerana ia satu proses yang biasa bagi mereka serta tiada masalah kerana mereka memang sering hadir ke mahkamah,” kata peguam itu.
Zaim Ikhwan dan Ismanira sebelum ini didakwa secara bersama atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan perumahan mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Disember 2023. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-UTUSAN











