LENGGONG: Rangka manusia Perak Man yang sebelum ini disimpan di Muzium Negara sejak 2021 dipamerkan semula di Muzium Arkeologi Lembah Lenggong di sini sejak awal bulan ini.
Rangka manusia berusia 11,000 tahun itu sebelum ini disimpan di Muzium Negara kerana Muzium Arkeologi Lembah Lenggong menjalani kerja-kerja ubah suai dan baik pulih.
Rangka Perak Man ditemukan pada tahun 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lenggong oleh pasukan arkeologi yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr. Siti Zuraina Abdul Majid.
Berdasarkan kajian Perak Man dipercayai seorang lelaki yang meninggal dunia pada usia awal 40-an, mempunyai kecacatan badan serta bekerja sebagai shaman atau bomoh.
Orang ramai kini berpeluang melihat semula rangka tersebut serta penceritaan garis masa kehidupan purba di Lembah Lenggong dalam muzium itu yang boleh dimasuki secara percuma.
Jurupandu pelancong, Norhashimah Zainal Abidin berkata, tulang manusia Perak Man dipamerkan dengan penjagaan rapi berserta penghawa dingin supaya rangka tersebut tidak rosak.
“Bagaikan sirih pulang ke gagang. Kepulangan yang dinantikan ini membolehkan semua lapisan masyarakat dan pelancong datang ke Lenggong,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai, Nurul, 39, berkata dia teruja apabila rangka itu dipamerkan semula kerana menyifatkannya Perak Man sebagai ikon Lenggong dan simbol prasejarah Malaysia.
“Setelah tahu kembalinya Perak Man, terus bawa anak-anak untuk lihat rangka ini. Beberapa tahun sebelum ini yang dipamerkan hanya replika rangka,” katanya.
Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 serta lokasi Geopark Kebangsaan pada 2021 dan kini dalam usaha mendapatkan status UNESCO Global Geopark.
Selain rangka Perak Man, Lembah Lenggong juga dikatakan kawasan penempatan terawal manusia di Malaysia sejak ribuan tahun lalu dan pernah ditimpa hentaman meteoroid kira-kira 1.83 juta tahun lampau. – UTUSAN










