IPOH: Kerajaan Negeri Perak mengikuti langkah Persekutuan untuk melarang penjawat awam negeri itu menyertai himpunan mega yang dianjurkan pihak pembangkang pada 26 Julai ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, keputusan oleh Perak adalah sama iaitu mengikuti pengumuman yang telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam.
“Sama,” katanya ringkas ketika ditanya dalam sidang akhbar yang turut disertai oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.
Shamsul Azri semalam mengingatkan penjawat awam di seluruh negara supaya tidak menyertai himpunan tersebut yang bakal diadakan di Kuala Lumpur dalam cubaan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dilaporkan berkata penjawat awam perlu patuh dengan ikrar yang telah termaktub dalam Rukun Negara.
Pembangkang sebelum ini menganggarkan ribuan orang akan menyertai perhimpunan itu dari seluruh negara.
Sementara itu Saarani mengharapkan rakyat negeri ini menggunakan kesempatan untuk menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri secara berkala atau bulanan.
Jelasnya, program itu membuka peluang untuk rakyat bertemu dengan Menteri Besar, Exco serta pegawai kanan kerajaan bagi mengemukakan permasalahan masing-masing.
Katanya, jumlah kehadiran rakyat ke program itu didapati semakin berkurangan meskipun usaha penghebahan telah dilakukan lebih awal. – UTUSAN