SHAH ALAM: Seorang penuntut universiti swasta warga China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menikam leher bekas kekasihnya sehingga cedera parah, minggu lalu.
Tertuduh, You Wei, 22, yang menghidap kecelaruan bipolar bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Wu Jalin, 20, dengan menikam leher kiri wanita itu dengan pisau yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan di tingkat dua sebuah universiti swasta di Subang Jaya, pukul 6.30 petang, 14 Julai lalu.
You didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mempeuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal tidak mencadangkan kos ikat jamin bagi menunggu semakan Imigresen kerana dikhuatiri terdapat risiko tertuduh melarikan diri.
Peguam Revin Kumar yang mewakili You berkata, anak guamnya merupakan penuntut tahun tiga dan akan menghabiskan pengajiannya setahun lagi.
“Dia juga menerima rawatan bipolar disorder di sebuah klinik swasta dan telah direman selama tujuh hari sejak ditahan 14 Julai lalu.
“Anak guam saya berjanji akan terus berada di Malaysia bagi menjawab semua (dalam perbicaraan nanti). Mohon benarkan jaminan dengan syarat tambahan seperti serahan pasport dan lapor diri di balai polis,” katanya.
Norazlin membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis.
Selain itu, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang penuntut wanita cedera selepas diserang dan dikelar bekas teman lelakinya dengan pisau.-UTUSAN











