SEREMBAN: Seorang Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor didakwa atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM8,500, di sekitar daerah ini, hampir tiga tahun lalu.
Sahzul Hisam Samsuri, 51, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan pertuduhan, dia telah secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang berjumlah RM8,500 daripada seorang lelaki berusia 53 tahun untuk dirinya sendiri.
Ia sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan kes kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen yang sah.
Sahzul Hisam didakwa melakukan perbuatan itu di melalui panggilan telefon kepada lelaki berkenaan di sekitar daerah ini pada 11 September 2022.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, Shahzul Hisam berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding hari ini, Asmaa’ menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor setiap bulan, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Sahzul Hisam merayu wang jaminan yang rendah atas beberapa alasan termasuk mempunyai tanggungjawab seramai enam orang selain telah dipertuduhkan di Mahkamah Shah Alam, Selangor atas tiga pertuduhan kes yang sama dengan jaminan berjumlah RM9,000.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta beberapa syarat tambahan. Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










