KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini meluahkan kekaguman terhadap selebriti dan anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, Cik B, khususnya terhadap adab, kematangan serta caranya membawa diri.
Rita berkata, pertemuan bersama Cik B baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam kepadanya sehingga perkara itu turut diceritakan kepada anak-anaknya selepas pulang ke rumah.
Menurut Rita, perkara paling menyerlah mengenai Cik B bukanlah kemewahan atau apa yang dimilikinya, sebaliknya adab dan keperibadian yang ditonjolkan ketika berkomunikasi.
“Semalam saya jumpa Cik B. Berborak macam-macam dengan Gen Z ini, tetapi entah kenapa, perbualan itu terbawa-bawa sampai saya balik rumah.
“Sampai rumah saya cerita kepada anak-anak saya mengenai Cik B. Tidak habis lagi, anak sulung saya telefon pukul 12.30 malam, saya sambung lagi cerita mengenai Cik B.
“Kenapa sampai macam itu sekali? Sebab adab dia.
“Cik B mungkin ada segalanya, tetapi apa yang paling menyerlah pada saya bukan apa yang dia miliki, tetapi cara dia membawa diri. Apa saja kami borak, apa saja kami tanya, dia jawab dengan sangat matang, tenang dan cool.
“Kadang-kadang saya sampai terfikir, ‘Eh, siapa sebenarnya Gen Z ini? Saya ke Cik B?’,” katanya.
Rita turut mengakui dirinya kagum apabila mendengar cara Cik B mengendalikan sesuatu keadaan, termasuk ketika berdepan kemarahan ibunya, selain cara wanita muda itu berfikir dan melihat sesuatu perkara.
“Apabila dia cerita bagaimana dia kendalikan keadaan bila mamanya marah, cara dia berfikir, cara dia melihat sesuatu, saya kagum.
“Saya dah jumpa ramai orang dalam hidup, tetapi jarang saya jumpa anak muda seusia dia yang begitu matang, tenang dan tahu membawa diri.
“Patutlah Datuk Seri Vida selalu panggil dia, ‘Cik B, anak mama yang hebat.’
“Ya, saya akui. Cik B memang anak yang hebat. Dan yang paling mahal pada dirinya ialah adab,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Rita juga menyifatkan Cik B sebagai ‘ChatGPT versi manusia’ kerana mempunyai jawapan terhadap pelbagai perkara yang dibualkan, namun pada masa sama mampu menyampaikannya dengan ketenangan dan pandangan positif.
“Bagi saya Cik B ini macam ChatGPT versi manusia. Borak apa pun, semua ada jawapan. Bezanya jawapan dia datang dengan ketenangan, positif dan kadang-kadang buat kita yang lebih berusia pula terfikir.
“Cik B bukan sekadar anak muda yang berjaya. Pada saya, dia antara ikon Gen Z yang baik untuk anak-anak muda jadikan contoh, beradab, cool, positif, matang dan tahu siapa dirinya,” katanya.
Dalam pada itu, Rita turut memberikan penghargaan kepada Datuk Seri Vida yang disifatkannya mempunyai peranan besar dalam membentuk keperibadian Cik B sehingga menjadi seorang anak muda yang matang dan beradab.
“Dan di sebalik seorang anak seperti Cik B, tentunya ada seorang ibu yang membesarkannya melalui begitu banyak perjalanan hidup.
“Tahniah mama kerana membesarkan seorang Cik B. Banyak benda boleh dibeli dengan duit. Tetapi adab, kematangan dan cara membawa diri, itu kekayaan yang sebenar,” katanya.











