Penipuan e-dagang catat kerugian RM63 juta dalam tempoh enam bulan

Penipuan e-dagang catat kerugian RM63 juta dalam tempoh enam bulan

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis merekodkan jenayah penipuan e-dagang terus menunjukkan trend membimbangkan apabila merekodkan kerugian lebih RM63 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sepanjang tempoh Januari sehingga Jun lalu, sebanyak 5,252 kes direkodkan membabitkan pelbagai platform digital termasuk Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram, TikTok dan Mudah.my.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, antara modus operandi paling lazim ialah penjual palsu yang menawarkan barangan tidak wujud serta tidak dihantar walaupun bayaran dibuat oleh mangsa.

“Taktik lain termasuk laman web palsu yang kelihatan sah tetapi direka untuk mencuri maklumat peribadi dan kewangan, serta serangan ‘phishing’ melalui emel atau mesej yang menyamar sebagai syarikat e-dagang,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.

Beliau berkata, penipuan turut berlaku melalui tuntutan bayaran balik palsu serta penggunaan kad kredit dicuri dalam urus niaga.

Pada tahun 2022, sebanyak 9,247 kes penipuan e-dagang direkodkan dengan kerugian melebihi RM139 juta. Jumlah itu meningkat kepada 10,372 kes pada 2023 dengan kerugian hampir RM175 juta.

“Namun pada 2024, berlaku sedikit penurunan iaitu 7,662 kes dengan kerugian RM70.8 juta. Angka bagi tahun ini pula menunjukkan 5,252 kes dalam tempoh enam bulan dengan jumlah kerugian RM63.9 juta,” jelasnya.

Rusdi menasihatkan orang ramai supaya hanya berurus niaga melalui platform sah yang mempunyai reputasi baik.

“Pengguna perlu menyemak penilaian dan ulasan daripada pelanggan lain sebelum membuat pembelian. Elakkan berkongsi maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan dan butiran bank secara sembarangan.

“Gunakan kaedah bayaran yang selamat dan boleh dikesan, serta waspada terhadap tawaran harga terlalu murah dan tidak masuk akal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN