KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap seorang pengurus syarikat kitar semula yang mengaku bersalah menggunakan invois palsu untuk memohon Lesen Import Permit (AP), tiga tahun lalu.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Ch’ng Wilson, 33, selepas merekodkan pengakuan bersalah tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersubahat dengan adiknya, Ch’ng Wei Jie, 26, menggunakan tiga invois palsu sebagai dokumen sokongan bagi menyokong permohonan Lesen Import Permit melalui sistem Dagang Net di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Putrajaya, 7 Februari 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membantu sebuah syarikat milik rakannya untuk memohon permit import (AP) dengan menyertakan invois palsu, sedangkan syarikat yang diuruskan Wilson hanya mempunyai kelulusan mengimport sisa plastik dari Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan United Kingdom sahaja.
Hasil siasatan mendapati Wilson telah bersubahat dengan Wei Jie menggunakan invois palsu untuk memohon AP bagi empat kontena dagangan yang didaftarkan atas nama seorang lagi adiknya, Ch’ng Huey Ning.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada lelaki itu dan masyarakat.
“Sekiranya mahkamah memilih untuk mengenakan denda, pihak pendakwaan memohon jumlah RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan memandangkan tertuduh telah menjimatkan masa dan kos semua pihak dengan pengakuan bersalahnya,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum dengan alasan dia hanya berpendapatan RM8,000 sebulan dan menanggung dua anak kecil, selain ini merupakan kesalahan pertamanya. – UTUSAN










