PETALING JAYA: Seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM16,000 sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja di bawah syarikatnya bekerja.
Penahanan suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu dibuat kira-kira pukul 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2024 dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM16,000.
“Suspek dipercayai telah menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank miliknya secara berperingkat sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih di bawah GLC tersebut di sekitar negeri Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Beliau berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pagi ini bagi permohonan reman,” jelas beliau. – UTUSAN