Penganggur didakwa bunuh ibu teman lelaki - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa bunuh ibu teman lelaki

M. SHOBNA didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kepada teman lelakinya, dua minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kepada teman lelakinya, dua minggu lalu.

Tertuduh, M. Shobna, 37, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas, M. Sumathy, 66, di sebuah bilik di Taman Indah Jaya, Teluk Intan pada pukul 3 pagi, 15 Julai 2025.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 11 September depan sementara mendapatkan laporan bedah siasat.

Terdahulu, seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam bilik di sebuah rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sebelum ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati terdapat unsur yang mencurigakan dalam kes tersebut.

Berikutan itu, tangkapan dijalankan terhadap anak lelaki mangsa dan teman wanitanya di mana hasil ujian air kencing mereka mendapati kedua-duanya positif dadah.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek wanita mengaku membunuh si mati dan motif pembunuhan itu disebabkan oleh perselisihan faham antara mereka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN