Pembantu tadbir dituduh minta wanita potong bulu kemaluan

Pembantu tadbir dituduh minta wanita potong bulu kemaluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang pelatih latihan industri dengan membuat permintaan tidak senonoh, April lalu.

Tertuduh, Mohamad Aznee Osman, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa meminta wanita berusia 22 tahun itu mencukur bulu kemaluan tertuduh ketika berada di pejabatnya di sini pada pukul 1.58 petang, 4 April lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan dengan niat mengaibkan kehormatan seseorang yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor M. Alli Nangai mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Mohamad Aznee, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili lelaki itu merayu mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin lebih rendah dikenakan.

“Anak guam saya menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anak, termasuk seorang anak kurang upaya,” kata peguam berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes dan turut mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, khususnya mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN