KUALA LUMPUR: Isu kenaikan kos sara hidup, kegagalan menunaikan janji pilihan raya dan kelemahan pengurusan kewangan negara antara perkara utama yang dibangkitkan dalam Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, semalam.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan gagal mentadbir negara dengan berkesan sehingga menyebabkan rakyat terus menanggung penderitaan.
Katanya, rakyat kini hilang keyakinan apabila kos sara hidup meningkat, pendapatan tidak bertambah dan janji pilihan raya masih belum ditunaikan.
“Kita berkumpul bukan sekadar berhimpun, tetapi sebagai tanda penentangan terhadap cengkaman yang menekan rakyat. Hampir tiga tahun kerajaan ini memerintah, namun nasib rakyat masih tercengkam,” katanya dalam himpunan tersebut.
Katanya, kerajaan sering melaungkan integriti dalam tadbir urus, namun tidak mencerminkan keprihatinan terhadap rakyat, baik di bandar mahupun luar bandar termasuk apabila harga barangan asas terus meningkat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pula mendakwa Perdana Menteri, gagal menunaikan janji reformasi pernah dilaungkan, malah kini mempunyai reputasi lebih buruk daripada pemimpin terdahulu.
Katanya, rakyat sudah terlalu lama ‘digula-gulakan’ dengan janji manis Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tiada sebarang perubahan berlaku seperti yang dijanjikan.
“Dia dulu himpunkan rakyat dengan laungan reformasi, tapi hari ini setelah diberi kuasa, semua itu hilang entah ke mana,” katanya.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa rakyat kini semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri apabila keadaan negara dalam situasi membimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup dan pengurangan subsidi yang membebankan rakyat.
“Negara kita bukan dalam keadaan baik yang dicanang. Harga barang naik, subsidi pula dikurangkan,” katanya.
Mukhriz membangkitkan isu hutang negara kini mencecah RM1.3 trilion, bersamaan 65.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hampir melebihi had statutori yang dibenarkan.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa apabila Anwar didakwa bertindak seolah-olah beliau adalah hakim dan pendakwa raya dalam isu siasatan semula kes Batu Puteh.
Menurutnya, Perdana Menteri tidak sepatutnya membuat kenyataan terbuka bahawa beliau bersalah tanpa melalui proses mahkamah.
“Kalau saya salah, bawa ke mahkamah. Awak bukan hakim, awak Perdana Menteri. Tak ada hak tentukan saya bersalah atau tidak,” katanya.-UTUSAN










