PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini akan mematuhi tiga perkara utama dalam Akta Perhimpunan Aman dan tidak menimbulkan provokasi.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya komited mematuhi segala peruntukan yang masih terpakai di bawah Akta Perhimpunan Aman seperti ditegaskan Kementerian Dalam Negeri.
“Apa yang dianjurkan adalah Himpunan Aman Kebangkitan Rakyat, Selamatkan Malaysia, Turun Anwar.
“Justeru, daripada nama perhimpunan pun kita pasti patuhi tiga perkara tersebut. Kita mahu berhimpun secara aman untuk membawa suara rakyat. Bukan untuk mengganggu ketenteraman awam atau membuat kekacauan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hilman berkata, jika berlaku sebarang provokasi atau insiden yang melanggar tiga perkara utama perhimpunan maka perkara tersebut bukan datang daripada pihak penganjur dan peserta yang terlibat secara rasmi.
“Sekiranya ada sebarang provokasi dan tindakan yang menyebabkan kekacauan dan ganggu, pastinya bukan dari pihak kami,” katanya.
Katanya, perhimpunan tersebut merupakan satu desakan rakyat yang tidak lagi mampu bersabar dengan keadaan ekonomi dan dasar kerajaan sekarang.
Katanya, perhimpunan itu bukan sahaja melibatkan parti politik, malah disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO).










