TAPAH: Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa tiga lelaki warga emas di Kilometer 328.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini semalam, direman tiga hari.
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Anis Zainab Pawanteh dalam prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret Tapah hari ini.
Reman yang dikenakan terhadap suspek berusia 31 tahun itu membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, suspek yang memakai baju T belang hitam dan putih serta seluar lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis sekitar pukul 8.45 pagi sebelum dibawa keluar 45 minit kemudian.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi semalam, tiga lelaki warga emas maut selepas kereta Proton X50 yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 31 tahun.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Cong Ong, 77; Teh Kim Kai, 76 dan Tan Ah Tak, 70.
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga Singapura yang berada di dalam kereta cedera parah manakala pemandu kenderaan berusia 71 tahun pula cedera ringan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Johari Yahya dilaporkan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dipandu suspek melanggar belakang Proton X50 yang menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan hilang kawalan lalu terbabas.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Toyota Vios telah terbabas ke bahagian rumput sebelah kiri lebuh raya manakala Proton X50 pula berpusing dan melanggar besi pembahagi sebelah kiri lebuh raya.
“Tiga penumpang belakang kereta Proton X50 maut di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang hadapan pula cedera,” katanya. – UTUSAN